Gelaran ratu 400meter negara kini milik Shereen Vallabouy

3,162

Selepas lebih 16 tahun, akhirnya rekod 400meter dalam dewan kebangsaan milik Noraseela Mohd Khalid iaitu 54.58saat di Jerman akhirnya dipecahkan Shereen Vallabouy.

Shereen berjaya memecahkan rekod dengan catatan masa 53.79 ketika menyertai NCAA Division 2 di Amerika Syarikat sekaligus berjaya meraih pingat emas.


Pelari negara itu merupakan pelajar-atlet di Amerika yang mana beliau mewakili Universiti Winona State.

Kini ramai yang berharap agar Shereen dapat mengekalkan prestasi sensasinya untuk memecahkan satu lagi rekod kebangsaan 400m luar dewan milik Allahyarham Rabia Abdul Salam di Filipina pada 1993.

Terdahulu Shereen merupakan atlet Majlis Sukan Negara (MSN), namun beliau telah memilih untuk keluar dari persatuan itu apabila mendapat biasiswa NCAA di Amerika Syarikat.

Shereen datang dari latar belakang atlet yang mana bapa dan ibunya merupakan atlet terkenal negara iaitu Samson Vallabuoy dan Josephine Mary.

Samson merupakan pemenang pingat gangsa di Kejohanan Asia, manakala Josephine pula merupakan pemenang pingat gangsa dua kali di Sukan Asia.

Kejayaan anak Malaysia ini turut mendapat perhatian dan pujian daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan the Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Selain itu, Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan tahniah kepada Shereen atas kejayaan beliau yang bukan sahaja berjaya meraih kejayaan tetapi juga menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa.

Dalam pada itu, Shereen dilaporkan tidak akan menyertai temasya Sukan SEA yang akan berlangsung pada Mei ini.

Beliau bagaimanapun beliau dijangka akan menyertai kem kebangsaan pada Sukan Komanwel 2022 pada Julai depan.