Tak perlu lihat Eropah untuk pembangunan bola sepak, lihat saja Jepun

1,815

Apabila bercakap mengenai pembangunan akar umbi bola sepak sudah semestinya ramai yang menjadikan Eropah atau Amerika Selatan sebagai tempat rujukan.

Tidak salah untuk mengikut cara Eropah dalam pembangunan bola sepak tetapi rasanya ada contoh yang bagus tetapi dekat sahaja iaitu di Jepun.


J-League merupakan antara, jika bukan liga bola sepak terbaik di Asia yang mana liga mereka sangat kompetitif dan menjadi impian ramai pemain di Asia Tenggara untuk menjejakan kaki di sana.

Sumber foto: Kashima Antlers FB

Di J-League tidak pernah timbul isu mengenai pemain import menutup ruang peluang pemain muda langsung kerana mereka mempunyai program pembangunan akar umbi yang cukup bagus, sekaligus melahirkan ramai pemain muda berkualiti.

Pemain import yang bermain di J-League tidak akan berasa secure untuk sentiasa berada kesebelasan utama berikutan mereka berdepan saingan sengit daripada pemain-pemain tempatan sendiri yang begitu berbakat.

Jadi tidak hairan jika kesebelasan utama dibarisi oleh seratus peratus pemain tempatan, manakala pemain import duduk di bangku simpanan atau langsung tidak disenaraikan di dalam skuad.

Di Liga Malaysia pemain import boleh dikatakan seratus peratus akan diturunkan dalam kesebelasan utama kerana bukan kerana prestasi mereka sahaja tetapi memandangkan gaji mereka yang tinggi membuatkan jurulatih akan memastikan khidmat mereka digunakan.

Dengan saingan Liga Malaysia yang tidak kompetitif membuatkan banyak pemain-pemain muda berdepan kesukaran untuk mendapat minit permainan sekaligus menyebabkan prestasi mereka naik dan turun.

Sumber foto: Urawa Red FC

Tambahan pula rata-rata jurulatih di Liga Malaysia tidak berani mempertaruhkan pemain muda.

Pada musim 2022 kita dapat melihat PJ City FC menjadi satu-satunya pasukan Liga Super yang menggunakan seratus peratus pemain tempatan dan telah membuktikan pemain tempatan juga mampu bersaing dengan pasukan yang mempunyai lima pemain import.

Sebuah lagi pasukan yang mempunyai jurulatih yang sangat mementingkan perkembangan bakat muda adalah ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC iaitu Aidil Sharin Sahak yang berani mempertaruhkan pemain-pemain muda untuk beraksi.

Malah ia telah dibuktikan ketika Kedah menentang Sains FC pada pusingan pertama Piala FA apabila Aidil merehatkan kesemua pemain import dan senior, tetapi membariskan kesemua pemain muda.

Tidak dapat dinafikan beberapa pasukan seperti Perak, Kelantan, Kedah, Terengganu dan beberapa lagi pasukan mempunyai ramai pemain berkualiti tetapi tidak semua mendapat peluang.

Sebagai contoh yang terbaik adalah Perak yang kini dilanda masalah tunggakan gaji hingga menyebabkan pemain-pemain mereka tiada peluang langsung untuk bermain sekaligus merugikan negara.

Sumber foto: Asean Football

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) perlu melakukan sesuatu bagi memastikan negara terus melahirkan pemain-pemain berkualiti yang mana ia bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti liga tempatan, tetapi ia juga akan memberi manfaat kepada ketua jurulatih negara untuk mempunyai banyak pilihan pemain untuk memilih pemain untuk sarung jersi Harimau Malaya.

Masih ingatkah lagi pada tahun 2009, FAM telah melarang penggunaan pemain import dalam saingan Liga Malaysia.

Walaupun ramai membantah kerana pasukan tidak mampu bersaing di pentas Asia tetapi ketika itu Malaysia berjaya meraih pingat emas di Sukan SEA pada 2009 dan juara Piala AFF 2010.

Selepas itu, prestasi negara kembali merudum sehingga kini dan tahun lalu merupakan antara yang terburuk apabila skuad negara tersingkir dalam peringkat kumpulan dalam saingan Piala AFF 2020.

Oleh itu, seperti yang ditekankan oleh Lim Teong Kim dan Azraai Khor sebelum ini, setiap pasukan perlu memberi perhatian pada pembangunan akar umbi supaya dapat terus melahirkan lebih ramai pemain tempatan berkualiti.

Jika kesemua pasukan menitik beratkan soal pembangunan akar umbi, tidak mustahil satu hari nanti Liga Malaysia mampu jadi seperti J-League, yang sebenarnya pernah belajar dari Malaysia pada era liga semi-pro.

Tiada apa yang mustahil dalam dunia bola sepak. Lihat sendiri di manakah bola sepak Jepun sekarang.