Pemain futsal wanita KL boikot perlawanan kerana tak dapat gaji

5,402

Semalam kita dikejutkan dengan berita kekalahan besar pasukan futsal wanita Kuala Lumpur dalam saingan Malaysian Premier Futsal League (MPFL) kepada Melaka  dengan jaringan 26-0.

Kekalahan itu dikatakan berpunca daripada tindakan pemain utama pasukan KL memboikot perlawanan tersebut berikutan tidak mendapat gaji.


“Yang saya tahu pemain senior yang bermain sejak mula saingan liga telah ambil tindakan boikot kerana tak dapat gaji.

Mereka bertindak memboikot kerana mahu kenakan pengurusan KL supaya pasukan itu dikenakan tindakan sekiranya pasukan itu tarik diri dari liga,”

kata penolong jurulatih Selangor MAC, Iman kepada Harimau Malaya.

Iman menjadi jurulatih bidan terjun KL selepas jurulatih pasukan itu positif COVID-19 dan pemain senior pula tidak hadir pada hari perlawanan.

Menurut Iman, ketika hari perlawanan beliau yang berada di situ berasa agak terkejut apabila melihat hanya tiga pemain sahaja yang sedang memanaskan badan.

“Apabila saya turun untuk mengetahui apa yang berlaku baru saya dapat tahu pemain senior tak datang dan yang tinggal pemain-pemain muda dan akademi sahaja, jadi saya ambil keputusan untuk bantu mereka.”

Menurut Iman, mereka ini tiada pengalaman langsung bermain di gelanggan bersaiz FIFA, tambahan menentang pasukan yang kuat seperti Melaka menyebabkan pada separuh masa pertama mereka dibolosi sebanyak 18 gol.

Bagaimanapun ketika masa rehat, beliau memberi kata-kata semangat kepada pemain-pemain itu dan ia membuahkan hasil apabila pada separuh masa kedua mereka hanya dibolosi lapan gol sahaja.

Beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai isu tunggakan gaji pemain KL kerana dirinya orang luar jadi beliau tidak berhak untuk menyuarakan pandangannya.

Selain skuad futsal wanita, skuad bola sepak lelaki KL juga berdepan situasi sama apabila gaji mereka tidak dibayar selama beberapa bulan.

Isu ini menjadi semakin panas apabila ia didakwa berlaku kerana perebutan kuasa dan campur tangan politik.

Situasi yang berlaku dalam pasukan KL ini sama seperti yang berlaku dalam pasukan Perak FC yang sehingga kini masih bergelut dengan isu tunggakan gaji yang mana ada yang tidak mendapat gaji selama tujuh bulan.

Nampaknya isu gaji ini dilihat semakin menjadi-jadi apabila kini pada awal musim sudah ada pasukan yang berdepan masalah ini.

Pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) perlu mencari jalan penyelesaian supaya isu tunggakan gaji ini tidak lagi berlaku.

Ia bukan sahaja menjejaskan liga tetapi juga boleh memusnahkan karier seseorang pemain itu.