Gaji pemain sudah dilangsaikan – Stanley Bernard
Kemelut tunggakan gaji yang menimpa pasukan KL City FC (KLCFC) akhirnya selesai apabila kesemua tunggakan gaji pemain, barisan kejurulatihan dan staf telah dilangsaikan pada hari ini (Jumaat).
“Hari ini kita dapat lunaskan gaji pemain,”
katanya Ketua Pegawai Eksekutif KLCFC, Stanley Bernard kepada Harimau Malaya.
Menurut Stanley, isu tunggakan gaji yang berlaku dalam pasukan KLCFC bukan kerana pasukan itu tiada wang tetapi mereka lambat terima wang dari pihak penaja.
“Selepas kejayaan kami merangkul Piala Malaysia musim lalu, ramai penaja yang mahu terus kekal bersama kami tetapi dengan situasi pandemik yang berlaku mereka tetap mahu bersama kami, tetapi mereka mengambil masa untuk bayar secara ansuran.
Jadi apabila itu berlaku, kita mengharapkan partners kita yang biasanya datang (bayar) awal untuk bantu kita, tetapi itu tidak berlaku setakat ini namun ia akan berlaku tidak lama lagi. Sebab itu kami berdepan kekangan dan tugas saya adalah untuk awalkan beberapa penaja dan agak baik dengan apa yang berlaku hari ini.”
Pada masa sama Stanley turut menjelaskan bahawa beliau mengambil pendekatan untuk bertemu pemain bagi memaklumkan sendiri apa sahaja masalah yang berlaku walaupun perkara yang ingin dimaklumkan berat seperti kelewatan bayaran gaji.
Bagaimanapun pendekatan yang digunakan beliau berjaya membuatkan pemain memahami situasi yang berlaku dan tidak memikirkan soal itu kerana percaya Stanley akan berusaha bagi memastikan semuanya dapat diselesaikan.
“Tahun lalu juga berlaku perkara yang sama tetapi kami berjaya menyelesaikan segala masalah seperti yang dijanji, oleh itu anda tidak nampak pemain atau jurulatih keluar kerana mereka tahu saya akan berhadapan dengan mereka. Satu benda saja saya buat, bila janji pasti saya akan bayar.”
Dalam pada itu, Stanley turut menafikan kedudukannya bakal terjejas sekira berlakunya pertukaran pemilikan pasukan KLCFC kerana pengambilalihan itu tidak berlaku, pada masa sama kedudukannya dalam pasukan juga stabil.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya kini sedang dalam proses untuk mengambil alih beberapa perniagaan untuk menjana pendapatan pasukan bagi jangka masa panjang.