Real Chukai FC & Kerteh FC patut dijadikan contoh buat kelab lain – Presiden Setiawangsa Rangers FC

5,271

Presiden kelab bola sepak Setiawangsa Rangers FC, Khushairi Aizad Jamalludin memuji cara pengurusan dua kelab Liga M3 iaitu Real Chukai FC dan Kerteh FC yang mana ia patut diikuti oleh kelab lain dalam Liga Malaysia.

Menurut Khushairi, kedua-dua kelab yang berpengkalan di Terengganu itu bukan sahaja diterajui oleh mereka yang mempunyai passion dalam bola sepak, tetapi juga mempunyai mind set perniagaan.


“Apa yang saya lihat pasukan seperti Kerteh FC dan Real Chukai FC mereka ada perancangan yang baik, business mind set, mereka fikir panjang dan yang paling penting mereka adalah individu yang mempunyai passion  dalam dunia bola sepak.

Selain menguruskan kelab bola sepak, mereka juga mempunyai syarikat yang mana ia selari dalam memberi sokongan sekaligus dapat menjayakan perancangan kelab itu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, selain itu kerjasama daripada pihak kerajaan  daerah dan negeri juga memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda mereka.

Ini kerana Majlis Bandaraya Daerah boleh memajakkan padang bola sepak yang tidak terurus kepada kelab bola sepak yang akan menaik taraf padang tersebut pada masa sama dapat menjana pendapatan.

Ia mampu dilakukan dan ia sudah terbukti apabila kedua-dua kelab Kerteh FC dan Real Chukai FC mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Daerah masing-masing dan ia bukan sahaja menguntungkan sebelah pihak sahaja tetapi juga pihak kerajaan negeri dan yang paling penting komuniti setempat.

Dalam pada itu, beliau yang ditanya bilakah kelabnya iaitu Setiawangsa Rangers akan bersaing dalam Liga M3, Khushairi berkata beliau enggan terburu-buru naik liga.

“Saya tidak mahu terburu-buru kerana untuk bersaing di Liga M3 kami perlukan kewangan yang kukuh, jadi saya rasa lebih baik kami naik perlahan-lahan supaya kelab ini akan terus kekal.”

Selain menguruskan pasukan bola sepak lelaki, Khushairi juga merupakan pengasas kepada KL Women’s Football yang mana pihaknya giat menganjurkan saingan liga bola sepak wanita.