Tak perlu terkejut TMJ bantu Selangor

4,390

Baru-baru ini dunia bola sepak kecoh apabila pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) membuat pendedahan bahawa baginda telah membantu sekurang-kurangnya lima pasukan Liga Malaysia termasuk Selangor.

Pendedahan TMJ ini nyata mengejutkan ramai penyokong terutamanya penyokong Selangor yang tidak menyangka baginda telah membantu pasukan itu sebanyak dua kali.


Bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan pun kerana tahun lalu baginda telah mendedahkan bahawa ramai pemain The Red Giants menghubunginya.

Apa yang mengejutkan ramai adalah kesudian baginda untuk membantu gergasi dari Lembah Klang itu berikutan hubungan antara kedua-dua pasukan itu dikatakan tidak ‘baik’ atas sebab-sebab tertentu.

Sehingga kini pihak pengurusan Selangor masih lagi belum memberi sebarang penjelasan atau kenyataan mengenai pendedahan TMJ.

Sebuah lagi pasukan yang mendapat dana adalah pasukan Perak FC yang dikatakan mendapat bantuan berjumlah RM400,000 untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain, barisan kejurulatihan dan staf pasukan itu.

Namun bukan isu dapat bantuan dana yang menjadi perhatian, sebaliknya isu komisyen yang diterima oleh pihak tengah yang mengaturkan pertemuan antara pihak pengurusan Perak dengan TMJ.

Difahamkan ini bukanlah kali pertama Perak mendapat bantuan kerana sebelum ini baginda juga pernah memberi bantuan tanpa diketahui oleh sesiapa.

Selain Selangor dan Perak, pasukan Kelantan FC, Penang FC dan Melaka United FC juga antara pasukan yang pernah menerima bantuan.

Tak cukup dengan pasukan bola sepak, TMJ yang juga merupakan penaung Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) juga pernah membantu beberapa pemain yang berdepan isu tunggakan gaji.

Dalam dunia bola sepak tanah air, TMJ merupakan antara individu paling lantang dalam memperjuangkan nasib pemain yang berdepan masalah gaji.

Persoalannya kini, sampai bila TMJ akan jadi ‘penyelamat’ dan buat kebajikan kepada pasukan bermasalah di Liga Malaysia?

Tidak dapat dinafikan TMJ ikhlas membantu mana-mana pihak yang memerlukan bantuan terutamanya pasukan bola sepak kerana beliau seorang yang sangat cintakan dunia bola sepak tanah air, tetapi mana-mana pihak yang mendapat bantuan perlu ingat pepatah orang tua-tua iaitu ‘Kalau kerap makan budi, akhirnya nanti tergadai tubuh badan’.

Pelbagai spekulasi dan tohmahan akan timbul sekiranya sesuatu berlaku terutamanya apabila pasukan yang menerima bantuan daripada TMJ berdepan JDT.

Sudahlah Liga Malaysia sentiasa mencetuskan pelbagai kontroversi, apabila peminat mendapat tahu mengenai pendedahan terbaru TMJ ini sudah pasti pelbagai isu bakal timbul kelak.