CEO Perak FC nafi ada pihak dapat komisyen dari sumbangan TMJ

3,859

Kecoh di media sosial apabila terdapat satu dakwaan kononnya pemilik Perak FC, Impact Media Communication (IMC) telah memberi komisyen kepada individu yang mengatur pertemuan dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Dalam pertemuan dengan TMJ itu, baginda telah berkenan untuk menyalurkan bantuan dana berjumlah RM400,000 bagi membantu pengurusan Perak untuk melangsaikan tunggakan gaji pemain pasukan itu.


Sumber foto: Perak FC FB

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak iaitu Muhammad Yunus Zakariah kesal dengan dakwaan oleh seorang wartawan sukan tersebut dan menegaskan bahawa pihak IMC tidak mengamalkan pemberian rasuah kepada sesiapa pun.

“Kami tidak beri rasuah pada sesiapa pun walaupun anda bantu kami dapatkan akses kepada bos anda kerana bagi kami itu adalah rasuah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Yunus, pihak mereka sememangnya mempunyai insentif kepada staf mereka yang berjaya membawa masuk penaja dalam pasukan tetapi ia hanya untuk staf IMC sahaja.

“Insentif itu hanya diberikan sekiranya kami dapat penaja, tetapi jika kami mendapat bantuan/derma seperti kes TMJ ini, ia tidak termasuk dalam struktur insentif kami.”

Ditanya samada banyak pasukan di Liga Malaysia termasuk Perak mengambil kesempatan terhadap sikap murah hati dan prihatin TMJ yang sentiasa akan menghulurkan bantuan kepada mana-mana pasukan atau pun pemain yang berdepan masalah kewangan, Yunus menafikan perkara tersebut.

“Kami sudah sedaya upaya bekerja keras mencari penaja baru bagi menyelesaikan masalah kami ini tetapi kami tidak berjaya. Dengan mengetahui bagaimana TMJ telah membantu banyak pasukan dan pemain sebelum ini, kami berkata apa ‘apa kata kita cuba peluang itu’ dan Alhamdulillah kami bersyukur apabila mendapat bantuan RM400,000.

Apa yang saya boleh cakap, meminta bantuan daripada TMJ adalah jalan terakhir kami setelah semua usaha yang kami lakukan tidak membuahkan hasil.”

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak IMC pada mulanya dimaklumkan bahawa pasukan The Bos Gaurus mempunyai hutang sekitar RM5 juta sahaja, tetapi apabila mereka membuat penelitian lanjut mereka mendapati bahawa pasukan itu mempunyai liabiliti sebanyak RM11.8 juta.

“Selepas kami sudah buat meneliti lanjut, jumlah hutang sebenarnya lebih besar. Kami boleh saja jika mahu tarik diri tetapi ketika itu tarikh akhir untuk perlesenan kelab sudah hampir, jadi kalau kami tak ambil alih sudah pasti pasukan Perak tidak akan dapat lesen beraksi di saingan liga.”

Tambahnya lagi, pihak IMC sememangnya tidak mampu menguruskan pasukan yang mempunyai hutang yang tinggi tetapi apabila ada individu/rakan kongsi yang menyakinkan kami untuk meneruskan pembelian kerana beliau akan menyediakan dana, mereka akhirnya bersetuju.

IMC bagaimanapun berdepan situasi getir apabila rakan kongsi tersebut tidak menunaikan janjinya sekaligus mengheret mereka kepada keadaan sekarang.

Sumber foto: Perak FC FB

Beliau bagaimanapun berkata penyokong bakal mendapat berita gembira apabila mereka kini dalam proses perbincangan dengan satu pihak yang berminat untuk mengambil alih pasukan Perak.

Proses rundingan itu sedang berjalan dan Yunus menjangkakan ia akan diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

Identiti bakal pemilik baru itu bagaimanapun tidak didedahkan lagi buat masa ini bagi menghormati proses rundingan.