Bola sepak kudung buat masa ini tidak bernaung dan tak dapat sokongan FAM – Sunny Shalesh

1,332

Ketua jurulatih skuad Harimau Kudung, Sunny Shalesh berharap agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat menjadi penaung kepada pasukan bola sepak orang kurang upaya (OKU) itu.

Menurut Sunny, ketika ini pasukan Harimau Kudung tidak bernaung dengan mana-mana agensi, sebaliknya mereka bergerak secara sendiri.


“Buat masa ini kita tidak bernaung atau pun menerima apa-apa sokongan daripada FAM kerana bola sepak kudung ini bola sepak OKU yang masih belum bernaung dengan mana-mana agensi.

Tapi saya pernah bentangkan dan memberitahu kepada FAM iaitu apakah kepentingannya kepada bola sepak kudung daripada peserta dan FAM kalau mereka menyokong kami,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, beliau mahu memperkasakan bola sepak kudung pada masa sama dapat menaikkan martabat FAM.

Dalam pada itu, beliau berharap agar badan induk bola sepak negara dapat mengikut jejak langkah seperti Persatuan Bola Sepak England yang mempunyai 17 pasukan negara itu dibawah persatuan mereka.

“Saya ada kenalan di UK yang mana beliau memberitahu saya bahawa England FA ada 17 pasukan kebangsaan di bawahnya, apabila saya bertanya kenapa banyak sangat, rupa-rupanya selain skuad utama mereka turut mempunyai skuad bola sepak kudung, buta dan banyak lagi. Kenapa di sana boleh tapi di sini tidak?”

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai pengalaman skuadnya yang beraksi di Kelayakan Piala Dunia Zon Asia Timur di Dhaka, Bangladesh yang mana Malaysia gagal layak apabila berada di kedudukan ketiga kumpulan, Sunny tidak berasa kecewa sebaliknya bangga dengan aksi persembahan anak buahnya.

“Ini adalah percubaan pertama kami. Bagi saya setiap sukan yang nak membangun khususnya sukan OKU ni, kita perlu melabur dan juga berani mengambil langkah pertama untuk mempelajari dan mendalami sukan bola sepak untuk OKU.”

Jelasnya, ia satu pengalaman yang cukup bagus buat pemain negara kerana mereka tiada lawan di negara sendiri, jadi peluang untuk menentang pasukan hebat seperti Jepun, Indonesia dapat memberi pendidikan bola sepak kepada skuadnya.

Walaupun gagal melayakkan diri ke Piala Dunia, namun Sunny dan pemainnya tidak akan kecewa kerana mereka masih mempunyai peluang untuk mencuba lagi nanti.