‘Ubi muda’ Kedah perempuan dipinang kelab JDT

19,502

Negeri Kedah bukan sahaja terkenal sebagai salah sebuah negeri yang menjadi ‘kilang’ pemain muda bola sepak lelaki tetapi kini pemain perempuan turut menarik perhatian kelab terkemuka tanah air.

Terbaru, beberapa pemain perempuan dari Puteri Jaya Soccer Kids dari Sekolah Puteri Jaya, Sungai Petani telah berjaya memikat Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah menjemput mereka untuk hadir untuk sesi pemilihan di kelab gergasi selatan itu.


“Ketika kami menyertai saingan Liga Supa Rimau untuk bawah 12 dan 13 siri satu di zon Pulau Pinang dan Alhamdulillah pasukan B-12 berjaya menjadi juara manakala B-13 pula naib juara.

Prestasi cemerlang pemain telah mendapat perhatian pemerhati bola (scout) dari kelab JDT dan mereka telah jemput pemain kami untuk sesi klinik dan pemilihan pemain,”

kata ketua jurulatih Puteri Jaya Soccer Kids iaitu Azam Fansuri kepada Harimau Malaya.

Azam turut memberitahu bahawa kejayaan yang dikecapi oleh Puteri Jaya Soccer Kids telah membuatkan lebih ramai ibu bapa terbuka untuk membenarkan anak perempuan mereka untuk bermain bola sepak.

Selain memberi kebenaran kepada anak perempuan mereka bermain bola sepak, ibu bapa juga sangat mudah memberi kerjasama termasuk sentiasa sedia untuk menyumbang dana sekiranya mereka memerlukan dana untuk menyertai mana-mana pertandingan.

Tambah Azam lagi, selain bola sepak perempuan, pasukan bola sepak lelaki mereka antara yang terbaik dalam negara apabila pernah muncul juara sebanyak dua kali di peringkat kebangsaan dalam Kejohanan Bank Rakyat.

Malah sebanyak lapan pemain mereka juga kini bermain di Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

“Di AMD kami sudah ada lapan pemain, dua pemain di akademi JDT, di akademi di Melaka sudah ada enam orang dan selebihnya lagi di sekolah sukan negeri.”

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa fokus Puteri Jaya Soccer Kids bukanlah ingin mengejar kejuaraan, sebaliknya mereka memberi tumpuan kepada pembangunan pemain bola sepak akar umbi.

Sementara itu, Azam berkata kelabnya kini dalam perancangan untuk membuat satu inisiatif iaitu membuat video pemain-pemainnya untuk diberikan kepada ejen bola sepak.

Beliau tidak mengharapkan pemain-pemainnya bermain di negara Eropah, sebaliknya melihat pasukan di negara Asia Tenggara sebagai pilihan terbaik.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen