Malaysia bakal berdepan kesukaran berdepan Filipina

7,236

Esok pasukan kebangsaan Malaysia bakal berdepan pasukan Filipina untuk saingan FAS Tri-Nations Series 2022 yang mana ia akan menjadi ujian pertama buat ketua jurulatih baru Kim Pan-gon.

Untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang akan berlangsung di Singapura, Pan-gon telah menyenaraikan sebanyak 25 daripada 30 pemain yang dipanggil.


Selain bertemu Filipina dan Singapura itu, satu lagi perlawanan telah diatur iaitu perlawanan persahabatan (tertutup) menentang kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC Singapore di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 28 Mac 2022 (Isnin).

Bagaimanapun perlawanan esok menjadi skuad negara dijangka bakal berdepan misi yang sukar apabila bertemu dengan skuad yang diberi jolokan Azkals yang mana mereka kini bukanlah sebuah pasukan yang mudah ditewaskan.

Ini kerana barisan pemain-pemain Filipina kali ini sangat menyakinkan dengan beberapa pemain mereka yang berpengkalan di Eropah akan turut turun beraksi.

Sumber foto: Philippine Football Federation FB

Penyerang Gerrit Holtmann yang bermain di Bundesliga untuk kelab VfL Bochum akan membuat debutnya bersama dua lagi pemain iaitu Enrique Linares yang bermain untuk UD San Pedro di Sepanyol dan Diego Bardanca yang bermain di Buriram United FC.

Filipina juga akan kembali membariskan penjaga gol mereka Neil Etheridge yang bermain dengan kelab Birmingham City (England) dan pemain tengah John Patrick Strauss, FC Erzgebirge Aue (Jerman).

Namun apa yang menjadi perhatian ramai sudah semestinya beberapa pemain Filipina yang bermain di Liga Malaysia yang mempamerkan prestasi yang cukup cemerlang bersama pasukan masing-masing.

Mereka adalah Kevin Ray Mendoza (KL City FC), Justin Baas (Melaka United FC), Carlos De Murga & Bienvenido Maranon (JDT) dan Manuel Ott (Terengganu FC).

Berdasarkan ranking dunia FIFA semasa, Filipina nyata jauh ke depan apabila menduduki tangga ke 129 berbanding Malaysia yang berada pada kedudukan 154.

Bola sepak Filipina ketika ini bukan sahaja baik dari segi ranking dunia tetapi mereka kini mempunyai pemain yang cukup berkualiti jadi tidak hairan pemain mereka kini menjadi rebutan banyak pasukan dari Liga Malaysia, Thailand, Indonesia dan juga Eropah.

Berdasarkan aksi persembahan ketika saingan Piala AFF 2020 tahun lalu, kedua-dua pasukan Filipina dan Malaysia gagal ke separuh akhir tetapi sejak dari itu, kedua-dua pasukan sudah membuat sedikit rombakan pasukan.

Sumber foto: FAM FC

Melihat barisan pemain Malaysia, sudah pasti ramai yang sudah dapat membaca corak permainan yang akan ditampilkan oleh pemain-pemain negara, tetapi apa yang membuatkan penyokong ternanti-nanti adalah taktikal yang diguna pakai berikutan Harimau Malaya mempunyai ketua jurulatih baru.

Jika Malaysia akan pamer aksi berbeza, skuad Filipina juga pasti akan tampil dengan taktikal ampuh bagi memastikan mereka mampu memberi saingan sengit kepada skuad negara.

Ia akan menjadi satu aksi pertarungan yang sengit, namun jika dilihat di atas kertas sudah semestinya Filipina menjadi pasukan pilihan untuk menang.

Apa pun sama-sama kita saksikan perlawanan antara Malaysia dan Filipina esok.