Nasihin yakin skuad hoki wanita negara mampu beri saingan sengit di Piala Dunia Remaja

504

Ketua jurulatih Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim menyuarakan keyakinan terhadap pemainnya yang akan beraksi pada Kejohanan Piala Dunia Remaja Wanita 2021 awal April ini.

“Seramai 12 pemain dalam pasukan ini pernah bermain di Piala Asia bersama skuad senior di Oman sebelum ini dan selebihnya (8 pemain) masih belum pernah membuat penampilan antarabangsa.

Bagaimanapun mereka ini beraksi dalam Liga Hoki Malaysia yang mana mereka beraksi bersama pemain negara atau bekas pemain negara sekaligus ia telah menjadi satu platform yang baik untuk mereka pamer aksi terbaik mereka.

Dari pemerhatian dan analisis saya dan barisan kejurulatihan lain, kami mendapati kesemua pemain-pemain yang dipilih mempunyai prestasi yang cukup baik dan berkeyakinan tinggi dalam permainan mereka,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Nasihin turut teruja apabila berpeluang untuk beraksi dalam satu kejohanan tertinggi kerana ia dapat memberi pendedahan kepada pemain-pemain yang sememangnya memerlukan pengalaman beraksi di peringkat tertinggi.


“Pemain perlukan pendedahan di tahap tertinggi dan peluang ini tidak akan disia-siakan kerana ia akan dapat meningkatkan lagi kualiti permainan mereka.”

Terdahulu, skuad hoki wanita negara mendapat berita gembira apabila mendapat tawaran dari Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk menyertai Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Wanita 2022 selepas Jepun menarik diri.

Dalam pada itu, jurulatih berusia 46 tahun itu berkata pemain-pemainnya sudah mempunyai keserasian antara satu sama lain, oleh itu fokusnya kini adalah di bahagian taktikal.

“Mereka mempunyai keserasian ketika turun beraksi jadi fokus saya adalah mengadakan perlawanan persahabatan bagi menerapkan taktikal yang ampuh.”

Nasihin turut menyenaraikan pemain dari Negeri Sembilan iaitu Nur Amirah Shakirah yang merupakan penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia dan beberapa pemain terbaik liga seperti Siti Nur Arfah, Nur Maziatulhanim dan beberapa lagi bagi memperkuatkan pasukan.

Malah gaya permainan yang ditampilkan oleh mereka sangat sesuai dengan taktikal yang beliau dan barisan kejurulatihan ingin terapkan dalam pasukan.

Memandangkan jangkitan COVID-19 masih belum reda, Nasihin dan pengurusan hoki negara sudah pun mempunyai pelan B sekiranya perkara tidak diingini berlaku pada pemain.

“Setakat ini kita ada 26 pemain yang terpilih untuk jalani latihan kem negara dan selepas itu akan pilih 20 pemain untuk dibawa ke Afrika Selatan. Bagaimanapun jika kejadian tidak diingini berlaku kami tidak risau kerana sudah mempunyai pemain yang bersiap sedia untuk digantikan.”

Piala Dunia Remaja Wanita 2021 yang akan berlangsung di Potchesftroom, Afrika Selatan akan membuka tirai pada 1 hingga 12 April ini.