Tak mustahil hoki wanita mampu berada dalam kelompok 15 terbaik dunia – Nasihin

296

Ketua jurulatih Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim berkata tidak mustahil untuk skuad negara untuk berada dalam kedudukan 15 terbaik dunia satu hari nanti sekaligus menjadi salah sebuah kuasa besar hoki wanita di Asia.

Ketika ini pasukan hoki wanita berada di ranking ke-20 dunia di belakang negara Asia seperti Korea Selatan, Jepun, India dan China.


“Tidak mustahil untuk kita berada di kedudukan 15 terbaik dunia kerana kita mampu melakukannya dengan cara perlahan iaitu selangkah demi selangkah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian selepas melihat sendiri perkembangan pasukan hoki wanita negara yang dilihat semakin memperlihatkan prestasi cemerlang dari semasa ke semasa.

Untuk memastikan anak buahnya sentiasa berada dalam prestasi terbaik, Nasihin sentiasa menerapkan latihan berintensiti bagi memastikan mereka berada dalam tahap terbaik dan bersedia.

“Saya berpuas hati apabila melihat pemain-pemain beraksi dalam tempo yang tinggi dalam saingan Liga Hoki Malaysia, tetapi apabila masuk ke kem negara saya mahu mereka tingkatkan lagi tempo permainan mereka.”

Dalam pada itu, ditanya samada kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Wanita menjadi ukuran buatnya sebagai ketua jurulatih samada kontraknya akan disambung atau tidak, Nasihin enggan terlalu memikirkan soal itu.

Jelasnya, beliau bersama jurulatih lain tidak memikirkan sangat soal itu kerana fokus mereka adalah untuk memastikan skuad negara bersedia dan buat yang terbaik demi negara.

Dalam pada itu, penyertaan skuad hoki wanita dalam kejohanan tertinggi seperti Piala Dunia Remaja adalah batu loncatan buat pasukan wanita berkembang dengan lebih jauh lagi selepas ini.

Terdahulu, skuad hoki wanita negara mendapat berita gembira apabila mendapat tawaran dari Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk menyertai Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Wanita 2022 selepas Jepun menarik diri.

Dalam pada itu, Nasihin mengakui pemain-pemainnya bakal berdepan situasi mencabar sedikit apabila di Afrika Selatan nanti berikutan cuaca dingin di sana.

“Di sana nanti pemain akan berdepan cabaran cuaca dingin dan altitude tinggi jadi mereka perlukan masa untuk menyesuaikan diri. Oleh itu, kami cuba adakan banyak perlawanan persahabatan di sini dan apabila di sana kelak kami akan fokus pada kecergasan pula.”

Hoki Piala Dunia Remaja Wanita akan berlangsung di Afrika Selatan pada 1 hingga 12 April ini.