Kekecewaan Lee Hup Wei terubat apabila beliau terima tawaran latih atlet junior

306

Jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei mengakui kekecewaan tidak tersenarai ke temasya Sukan SEA di Hanoi pada bulan Mei depan terubat apabila beliau ditawarkan untuk menjadi jurulatih olahraga junior.

“Apabila saya mendapat tahu rayuan saya ditolak, saya berasa kecewa, sedih, marah dan bermacam-macam lagi. Ketika saya hubungi untuk dapatkan kepastian, memang mereka beritahu tidak senaraikan saya tetapi mereka beri peluang untuk jadi saya jurulatih olahraga junior.

Ketika itu saya berasa sangat negatif, namun selepas saya tenangkan diri beberapa hari, saya kemudian berasa lebih baik dan berkata pada diri mungkin kini sudah tiba masa saya untuk teroka dunia kejurulatihan pula,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Mengikut kronologi kes Hup Wei, beliau pada mulanya mengeluarkan kenyataan bahawa dirinya akan bersara sekiranya tidak tersenarai untuk ke temasya dwitahunan itu.


Bagaimanapun beliau tidak jadi berbuat demikian selepas namanya kembali disenaraikan tetapi dalam kategori B (perlu mengeluarkan kos sendiri).

Tidak lama kemudian, Jawatankuasa Pemilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) telah menukar keputusan untuk tidak menyenaraikan Hup Wei sebaliknya senaraikan atlet lompat tinggi muda iaitu Mohamad Eizlan.

Ditanya samada kenyataannya awalnya yang mahu bersara menjadi salah satu faktor KOM tidak menyenaraikan namanya ke Sukan SEA, atlet berusia 34 tahun itu tidak dapat mengulas lanjut kerana tidak pasti.

“Saya tak pasti mengenai perkara itu tetapi apa yang saya tahu mereka memang nak sangat hantar atlet junior itu.”

Dalam pada itu, pemenang lima pingat emas dan satu perak di Sukan SEA itu meluahkan rasa terkilan apabila beliau tidak dapat menamatkan kariernya di pentas antarabangsa, sebaliknya akan bersara dalam kejohanan tempatan pada hujung minggu ini.