Iman Syuhadah mahu buktikan Malaysia ada pemain tenis wanita hebat

703

Pemain tenis muda negara, Iman Syuhadah merupakan antara segelintir sahaja pemain wanita yang menonjol dalam dunia sukan tenis.

Memulakan karier pada usia lapan tahun, Iman baru sahaja mengharumkan nama negara apabila berjaya merangkul gelaran juara Tenis Remaja Dunia ITF baru-baru ini.


Iman berkata dia mahu membuktikan bahawa Malaysia turut mempunyai pemain tenis wanita hebat kerana sehingga kini negara ketandusan pemain tenis wanita berkualiti.

“InsyaAllah jika saya terus mendapat sokongan dan konsisten tidak mustahil saya mampu jadi pemain tenis wanita negara pertama yang paling menonjol,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam perlawanan akhir remaja dunia baru-baru ini, Iman telah berjaya menumpaskan pemain dari Hong Kong iaitu Hannah Kaile Shen dengan 6-1, 3-6, 6-2.

Ketika ini Iman berada di kedudukan ranking ke 1,091 dunia pada 21 Mac lalu, jatuh 14 tangga yang mana pada 14 Mac lalu dia berada di ranking 1,077.

Dalam pada itu, Iman turut meluahkan rasa bersyukurnya apabila mendapat sokongan penuh daripada kedua ibu bapanya, malah sanggup mengeluarkan belanja yang besar bagi memastikan karier tenis dapat diteruskan.

“Pengorbanan ibu bapa saya telah membakar semangat saya untuk cuba memberikan yang terbaik dan cuba untuk menang dalam setiap kejohanan yang disertai.”

Ketika ini Iman hanya ditaja oleh jenama sukan Dunlop untuk raketnya dan satu penaja persendirian, bagaimanapun perbelanjaan untuk kejohanan antarabangsa semuanya ditanggung sendiri oleh keluarganya.