Sudah tiba masanya Mat Don dan Sumareh digugurkan dari skuad negara

24,839

Setelah sekian lama penyokong skuad Harimau Malaya akhirnya bergembira apabila pasukan Malaysia berjaya menewaskan pasukan Filipina 2-0 dalam perlawanan persahabatan FAS Tri-Nations Series 2022.

Percaturan oleh ketua jurulatih baru Kim Pan-gon ternyata membuahkan hasil apabila skuad negara berjaya memperoleh gol seawal minit ketiga.


Penyokong sememangnya sudah nampak sinar pasukan negara mampu meraih kemenangan apabila penyerang naturalisasi kontroversi Guilherme De Paula tidak dipanggil menyertai kem negara di bawah kendalian Pan-gon.

Sumber foto: FAM FB

Pan-gon bagaimanapun memanggil dua lagi pemain naturalisasi negara iaitu Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh.

Bagaimanapun permainan berintensiti tinggi yang dipamerkan hanya bertahan sehingga separuh masa pertama sahaja sebelum mereka mula memperlahankan tempo permainan terutamanya selepas kemasukan kedua-dua pemain itu.

Prestasi kedua-dua pemain itu nyata mengecewakan dan mendapat kritikan penyokong, malah ada yang mempertikaikan bagaimanapun Liridon atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Don dapat gelaran ‘Raja Gelecek’ di Liga India sedangkan beliau menjadi pemain yang memperlahankan tempo permainan.

Kemasukan Mat Don sejak dari mula serba tidak kena apabila jersi yang dipakainya terdapat kesilapan dalam ejaan nama di bawa ‘Lidiron’. Sebaik menyentuh bola, tiada aksi istimewa daripadanya, sebaliknya hanya aksi biasa selain membuat beberapa kesilapan kecil.

Ramai yang mengakui prestasi Mat Don berubah sejak beliau mendapat kewarganegaraan yang mana beliau menampilkan permainan yang cukup berbeza ketika beliau beraksi bersama pasukan Kedah sebelum ini.

Seorang lagi pemain yang prestasinya semakin merudum teruk adalah Sumareh. Pada kejohanan Piala AFF 2020 tahun lalu, nama beliau menjadi topik hangat dikalangan penyokong berikutan beliau menolak panggilan kem negara kerana masalah peribadi.

Kemasukannya dalam kem negara sudah dipertikai sejak dari awal lagi dan pada perlawanan semalam ia telah terbukti bahawa Sumareh juga sudah tidak selincah seperti dahulu.

Sumber foto: FAM FB

Prestasi merudum yang dipamerkan oleh Sumareh ini sudah dijangka berikutan beliau sendiri kurang minit permainan di kelabnya sendiri.

Mungkin beliau boleh meminta pandangan dan nasihat dari rakan sepasukannya iaitu Akhyar Rashid yang masih mampu mengekalkan prestasi cemerlang walaupun jarang beraksi bersama kelabnya.

Prestasi cemerlang Akhyar tidak dapat dinafikan lagi apabila beliau sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan semalam apabila diturunkan beliau berjaya menjaringkan dua gol kemenangan.

Berdasarkan prestasi pemain-pemain yang dipamerkan semalam, rasanya sudah tiba masanya Mat Don dan Sumareh mengikut jejak langkah De Paula iaitu digugurkan dari pasukan kebangsaan.