Tak terlalu hormati lawan buat Manjung City FC hampir malukan Sri Pahang FC

2,097

Semalam kelab dari Liga M3, Manjung City FC hampir melakukan kejutan terbesar menewaskan kelab dari Liga Super iaitu Sri Pahang FC dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA.

Manjung City berjaya mengheret Pahang ke masa tambahan selepas kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan selepas 90 minit permainan, bagaimanapun mereka terpaksa akur selepas tewas ketika penentuan sepakan penalti.


Kapten pasukan Manjung City iaitu Muhammad Faizzzwan tidak berasa kecewa dengan kekalahan tersebut sebaliknya merasakan mereka telah mencipta kejayaan luar biasa.

Sumber foto: Manjung City FC FB

“Sebelum perlawanan jurulatih memberi kata-kata semangat termasuk mengarahkan kami supaya tidak terlalu menghormati pihak lawan kerana tiada perbezaan ketara antara mereka dan kami.

Walaupun kami kalah penalti, tetapi bagi kami Manjung City sudah pun memenangi perlawanan selepas perlawanan selama 90 minit tamat kerana kami ni sebuah pasukan kerdil M3, manakala Pahang pula pasukan Liga Super,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, beliau dan rakan sepasukannya sangat berdisiplin dalam memterjemahkan taktikal tiga fasa yang diterapkan oleh jurulatih.

Faizzzwan juga berkata mereka sama sekali tidak menyangka perlawanan akan diheret sehingga ke 120 minit sebelum dibawa ke penentuan penalti.

Sumber foto: Manjung City FC FB

Dalam pada itu, ditanya mengenai ‘peperangan psikologi’ dengan penjaga gol import Pahang iaitu Mamadou Samasa ketika beliau ingin mengambil sepakan penalti, Faizzzwan berkata dia tidak termakan dengan provokasi.

“Ketika saya hendak mengambil penalti, penjaga gol itu ada melontarkan kata-kata provokasi kepada saya, tetapi saya tidak melatah sebaliknya tenang menyempurnakan sepakan sekaligus menewaskannya.”

Biarpun kesemua pemain Manjung adalah pemain sambilan, tetapi stamina dan tahap kecergasan yang dipamerkan oleh mereka sangat menakjubkan apabila mereka mampu bersaing dengan pemain di liga tertinggi dan juga pemain import.

“Jurulatih sentiasa menekankan kepada kami mengenai pentingnya tahap kecergasaan dan stamina, dan kami pemain sendiri juga mengambil inisiatif sendiri berusaha untuk tingkatkan kecergasan demi diri sendiri.”

Selepas tersingkir dari Piala FA, Faizzzwan berkata fokusnya dan rakan sepasukan kini adalah untuk cuba mengekalkan prestasi cemerlang mereka di saingan Liga M3 yang mana mereka kini berada di puncak selepas menang tiga kali dan seri sekali.