Skuad bola sepak wanita negara perlukan jurulatih baru – Normala Rashid
Sejak setahun dua kebelakangan ini bola sepak wanita negara semakin berkembang dengan pesat dan mendapat sambutan daripada peminat.
Bagaimanapun bola sepak wanita masih lagi seperti dianaktirikan apabila baru-baru ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan tidak menghantar skuad wanita ke Sukan SEA Hanoi kerana bimbang jadi mangsa belasahan.
Persatuan Pemain Bola Sepak Wanita Malaysia iaitu Puan Normala Rashid mencadangkan supaya FAM dapat menukar ketua jurulatih bagi memberi nafas baru pada bola sepak wanita.
“Kalau pasukan lelaki kalah pun mereka tukar jurulatih, jadi apa salahnya jurulatih bola sepak wanita ditukar pula. Bukannya nak kata jurulatih sekarang ini tidak bagus, tetapi apa salahnya ubah sedikit dengan membawa masuk beberapa jurulatih baru bagi membantu jurulatih sedia ada,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, perubahan perlu dibuat dengan pihak pengurusan diterajui oleh mereka yang benar-benar memahami selok belok dan berjiwa bola sepak.
Beliau berkata negara tidak ketandusan bakat bola sepak wanita sebaliknya tiada tempat untuk mereka mantapkan lagi skil mereka.
Dalam pada itu, beliau juga mengharapkan FAM dapat memperbanyakkan lagi kejohanan bola sepak wanita yang boleh dijadikan sebagai platform untuk mencungkil lebih banyak pemain bola sepak wanita berkualiti.
Jika ia dapat dilaksanakan, maka selepas ini kita tidak akan melihat lagi pemain yang sama bermain bola sepak padang dan futsal.
Populariti bola sepak wanita semakin naik selepas Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) telah menganjurkan Women’s Super League yang mana menyaksikan sambutan yang diterima sangat luar biasa.
Malah beberapa negeri lain seperti Melaka, Negeri Sembilan dan beberapa lagi mula mengikut jejak langkah Selangor dengan menganjurkan saingan liga bola sepak wanita mereka sendiri.