Perlis United FC sasar naik ke Liga Super 2024

1,394

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Zamri Ibrahim menyasarkan bahawa pasukan Perlis United FC (PUFC) mampu naik semula ke Liga Super dalam tempoh dua tahun lagi.

Menurut Zamri, PUFC sudah mempunyai perancangan pasukan itu untuk tempoh lima tahun apabila mereka kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia.


“Kami mempunyai Roadmap 5 tahun yang mana sasaran utama kami sudah semestinya untuk naik ke Liga Super dalam tempoh dua tahun lagi.

Yang kedua kami mahu ada kestabilan pendapatan kelab kerana kita sudah sedia maklum bahawa pada tahun hadapan setiap pasukan perlu diswastakan dan perlu cari pendapatan sendiri,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Untuk memastikan kelab dapat terus beroperasi, Zamri berkata pihaknya kini bakal terlibat dengan beberapa perniagaan bagi menjana pendapatan sendiri.

Sumber foto: PUFC FB

Terdahulu pasukan Perlis menjadi satu-satunya pasukan dari Liga M3 yang layak ke pusingan kedua Piala FA selepas mengejutkan pasukan Liga Perdana iaitu PDRM FC 2-0 di tempat lawan.

Jelasnya lagi, ketika ini pasukan Perlis tidak mendapat dana dari kerajaan negeri atau dari penaja, sebaliknya dapat bantuan daripada rakan-rakan yang cintakan bola sepak Perlis.

“Kami tak dapat dana langsung dari kerajaan negeri sebaliknya kerajaan negeri memberi sokongan dengan memberikan kami kemudahan seperti tempat latihan dan stadium.

Saya juga bersyukur apabila banyak pihak persendirian termasuk Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang sanggup memberi sumbangan dana bagi membantu pasukan terus beraksi.”

Selain Liga M3, Perlis juga mempunyai skuad yang beraksi di Piala Belia dan Piala Presiden.

Pada masa sama mereka juga bakal mempunyai liga sendiri yang dikenali sebagai Liga Perlis.

Sementara itu, Zamri turut menyuarakan keyakinannya terhadap sambutan daripada peminat bola sepak negeri itu yang teruja apabila Perlis kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Malah jumlah penonton yang hadir ke perlawanan juga semakin meningkat dari satu perlawanan ke perlawanan lain.