Presiden PFA dedah bekas pemain import Perlis tiada visa kerja
Kemelut tunggakan gaji yang melanda pasukan Perlis telah menjadi satu titik hitam dalam bola sepak di negeri utara itu sehingga menyebabkan mereka tersingkir dari saingan Liga Malaysia.
Bagaimanapun mereka kembali bangkit dengan tertubuhnya Perlis United FC (PUFC) yang mana mereka kembali bermula dari bawah iaitu bersaing di Liga M3.
Mungkin ramai yang mengetahui mengenai penggantungan dari Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), namun tidak ramai yang tahu butiran lanjut mengenai kemelut itu.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Zamri Ibrahim berkata pihak pengurusan lama berhutang kira-kira RM3 juta membabitkan gaji pemain import dan tempatan.
“Gaji pemain import kami berhutang kira-kira RM2 juta dan pemain tempatan RM1 juta. Jumlah asal sebenarnya rendah bagaimanapun jumlah itu meningkat berikutan kadar faedah yang dikenakan.
“Untuk pemain import pihak pengurusan lama sepatutnya memaklumkan kepada FIFA bahawa pemain import yang dibawa masuk sebenarnya tidak mempunyai visa bekerja langsung.
Malah ada pemain import yang apabila kami semak di Jabatan Imigresen tidak keluar dari Malaysia lagi,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tidak mahu lepas tangan, Zamri berkata sekiranya kelab Perlis dapat menjana keuntungan pada masa depan, sudah pasti pihak pengurusan akan cuba menyelesaikan hutang tersebut.
Dalam pada itu, Zamri turut meluahkan keyakinannya terhadap barisan pemain Perlis mampu pergi dengan lebih jauh lagi dalam saingan Piala FA.
Baru-baru ini mereka telah mengejutkan pasukan dari Liga Perdana iaitu PDRM FC 2-0 dalam pusingan pertama dan kejayaan itu telah menyaksikan mereka satu-satunya kelab Liga M3 yang layak ke pusingan kedua.
“Kami berlawan dengan pasukan yang mempunyai empat import tetapi kami bukan sahaja mampu bersaing, tetapi kami berjaya menjaringkan dua gol. Jadi saya yakin kita mampu pergi lebih jauh.”
Sementara itu, Zamri berharap penyokong setia skuad yang diberi jolokan Singa Utara itu dapat kembali ke stadium untuk menyokong pasukan kegemaran mereka.