Azila The Khawla kerja keras untuk kejar impian ke ONE Championship

573

Peninju Muay Thai wanita Siti Nurazila Mazlan bekerja keras untuk mengejar impiannya untuk beraksi di sangkar ONE Championship satu hari nanti.

Azila atau lebih dikenali dengan nama Azila The Khawla berada di landasan betul untuk mengejar impiannya apabila baru sahaja memenangi Sirkit Elit Negara Muay Thai.


“Selain mahu julang nama Malaysia, saya juga sedang bekerja keras untuk mengejar cita-cita untuk masuk ke ONE Championship kerana ia adalah impain saya sejak dulu lagi.

Saya mahu jadi wanita bertudung pertama Malaysia yang beraksi di pentas berprestij itu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Untuk mengejar impiannya itu, Azila mengakui dirinya masih perlu bekerja dengan lebih keras lagi bagi memastikan beliau bersedia dari segi mental dan fizikal.

Selain mental dan fizikal, beliau juga perlu mempelajari banyak lagi elemen mixed martial arts (MMA) seperti grappling, jiu jitsu gusti dan beberapa lagi.

Dalam pada itu, Azila kini sedang membuat persiapan bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung pada tahun ini.

Sementara itu, Azila turut membidas komen segelintir pihak yang berfikiran cetek yang mengatakan golongan wanita tidak sepatutnya terlibat dalam aktiviti kasar seperti Muay Thai.

“Bagi saya wanita pada zaman ini memang patut belajar seni mempertahankan diri bagi melindungi diri berikutan keadaan sekarang ini yang sangat bahaya. Mereka perlu belajar untuk persiapkan diri mereka untuk sebarang kemungkinan.”