Jurulatih perlu bersikap adil di antara pemain import dan tempatan

383

Bekas pemain lagenda Perak, V. Saravanan memberitahu setiap jurulatih perlu bersikap adil terhadap pemain import dan tempatan supaya hanya pemain yang dalam prestasi terbaik dapat diturunkan.

Saravanan berkata demikian selepas beliau melihat prestasi pemain-pemain import di Liga Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak memuaskan langsung.


“Saya lihat dua tiga tahun ini pemain-pemain import teruk, kualiti tidak sama seperti dahulu tetapi jurulatih tetap turunkan mereka. Itu tidak adil sebab anda nak turunkan dia juga kerana gaji mahal, sedangkan ada pemain tempatan yang gaji murah yang boleh beri prestasi terbaik tidak diturunkan.

Banyak jurulatih yang berfikiran ‘oh kita banyak pemain import jadi kena turunkan’. Apa kata mereka biarkan pemain import ini duduk di bangku simpanan untuk tiga perlawanan, tengok apa reaksi mereka. Jika tak bagus kita cari pemain import lain,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau bagaimanapun berkata perkara itu tidak berlaku langsung, sebaliknya jurulatih masih lagi menurunkan pemain import itu dan terus membiarkan pemain tempatan tanpa minit permainan.

Apabila prestasi skuad kebangsaan tidak bagus, ramai yang menyalahkan kualiti pemain tempatan tidak bagus, sedangkan mereka tidak ada minit permainan pun.

Saravanan juga bersetuju bahawa kuota lima pemain import terlalu banyak untuk saingan liga domestik.

“Saya rasa kita boleh guna lima pemain import tapi untuk saingan liga domestik kita patut tetapkan syarat guna tiga pemain import saja. Jika pasukan itu bermain di pentas Asia baru kita benarkan mereka guna lima pemain import.”

Pada masa sama beliau turut menggesa pemain-pemain tempatan supaya bekerja dengan lebih keras lagi untuk bersaing dengan pemain import untuk membuktikan diri mereka juga mempunyai kualiti setaraf atau lebih dari pemain import.

Beliau turut berkongsi kisah ketika bersama Perak pada satu ketika dahulu yang mana Saravanan menjadi mangsa ‘korban’ apabila tempatnya digantikan dengan pemain import Frank Seator.

“Pada ketika ini tidak dinafikan Frank Seator merupakan pemain import yang cukup berkualiti. Sebelum kemasukan Frank, saya dan Khalid Jamlus merupakan duo serangan pasukan tetapi apabila Frank masuk, saya diketepikan.

“Pada mulanya memang saya agak marah, tetapi saya tekadkan diri untuk bersaing dan apabila saya masuk sebagai pemain gantian, saya akan pastikan kemasukan saya memberi impak besar dan ia telah terbukti.”

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa sedihnya terhadap apa yang terjadi dengan bekas pasukannya Perak yang kini dilanda kemelut kewangan yang parah.

“Saya sedih dan menangis apabila teringatkan pasukan Perak. Saya harap sangat Sultan Perak dapat bantu untuk pulihkan semula pasukan. Pada masa sama saya juga ingin mengucapkan terima kasih kerana Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang sudi membantu Perak. Walaupun jumlah yang diberikan tidak besar, tetapi ia sangat bermakna buat pasukan Perak.”

Saravanan yang kini berkelana di Finland masih lagi terlibat dengan dunia bola sepak yang mana beliau merupakan jurulatih di kelab HJK Helsinki.