Menang Anugerah Sukan Negara, tapi sebenarnya bermasalah

179

Siapa sangka Persatuan Hoki Perak (PHP) yang baru sahaja menang Anugerah Khas di Anugerah Sukan Negara (ASN) baru-baru ini sebenarnya bermasalah?

Perkara itu didedahkan sendiri oleh pemain hoki negeri itu iaitu Arif Sabron yang tampil mendedahkan bahawa persatuan itu mempunyai hutang tunggakan elaun pemain hoki Sukan Malaysia (SUKMA) selama lima bulan.


“Pengurusan baru Persatuan Hoki Perak kali ini bagi saya sangat teruk berbanding pengurusan terdahulu. Satu lagi isu yang orang tidak tahu adalah elaun pemain SUKMA tahun lalu yang sudah sangkut lima bulan.

Sehingga kini tunggakan elaun itu masih lagi belum dilangsaikan. Sebelum ini ketika saya bermain di SUKMA memang ada kelewatan elaun tapi kami tetap dapat, tetapi kali ini senyap tanpa khabar berita.”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, sudah dua kali pembayaran elaun terpaksa ditangguhkan kerana dikatakan perlu diaudit oleh Majlis Sukan Negara (MSN) tetapi sehingga kini tiada khabar berita.

Dalam pada itu, Arif yang merupakan tonggak utama yang berjaya membantu pasukan hoki Perak merangkul trofi Piala Tun Abdul Razak sebanyak dua kali berturut-turut tidak gentar sekiranya pihak persatuan ingin mengambil tindakan tataterbit.

“Saya ada dengar khabar angin yang mengatakan saya akan diambil tindakan tataterbit, mungkin kalua tahun ini saya tidak tersenarai dalam pasukan untuk kejohanan Piala Tun Abdul Razak bermakna saya kena gantung la tu.

Jika saya kena gantung pun saya tak kisah kerana sebab apa yang saya buat ni bukannya nak burukkan persatuan, sebaliknya saya buat sebab nak bagi orang nampak kepincangan yang berlaku dalam persatuan.”

Terdahulu, Arif tampil membidas kenyataan Presiden PHP iaitu, Mohd Sayuti Abdul Samat yang meminta pemain hoki negeri itu supaya lebih utamakan komitmen mereka untuk bermain dan bukannya main kerana wang sahaja.

Pada hujung tahun lalu, PHP terpalit dengan kemelut tidak menepati wang imbuhan yang dijanjikan kepada pemain selepas mereka berjaya mempertahankan Piala Tun Abdul Razak.

Mereka pada mulanya dijanjikan imbuhan sebanyak RM5,000 seorang jika menang, tetapi apabila mereka berjaya jadi juara, mereka hanya terima sebanyak RM2,350 sahaja.

Perkara itu bagaimanapun diselesaikan apabila pihak PHP ambil keputusan untuk menaikkan kepada RM4,000.

Walaupun berasa kecewa dengan persatuan, Arif bagaimanapun tidak akan menolak sekiranya mendapat tawaran untuk kembali menyarung jersi Perak kerana beliau bermain demi lencana di dada dan bukannya kerana wang.