Sin Li Jane tak kecewa tak dihantar ke Sukan SEA

273

Pemain boling perseorangan wanita negara, Sin Li Jane tidak kecewa apabila namanya tidak tersenarai atlet yang akan ke Sukan SEA di Hanoi pada Mei depan.

Menurut Li Jane, untuk temasya kali ini Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) mahu memberi peluang kepada pemain boling muda negara.


“Saya tak sedih langsung apabila mendapat tahu nama tidak tersenarai ke Sukan SEA kerana apa dilakukan oleh MTBC adalah untuk beri peluang kepada bakat baru untuk beraksi di pentas antarabangsa,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, peluang ini seharusnya digunakan dengan sebaik mungkin oleh pemain muda untuk membuktikan kemampuan mereka berikutan mereka adalah pelapis untuk masa depan.

Li Jane juga menyangkal khabar angin konon pemain dalam kem negara berpuak-puak, sebaliknya mereka tetap kekal bersama sebagai satu pasukan.

Bercerita lanjut mengenai kariernya, Li Jane tidak meletakkan sebarang tempoh untuknya terus beraksi, sebaliknya akan terus bermain selagi mampu.

Li Jane juga tidak menolak kemungkinan akan beralih ke dunia kejurulatihan sekiranya beliau mengambil keputusan untuk bersara sebagai pemain boling.

“Buat masa ini saya tidak terfikir bila nak bersara kerana selagi mampu saya akan terus main. Bagaimanapun jika saya bersara, saya mungkin akan beralih ke dunia kejurulatihan pula selepas ini untuk berkongsi ilmu dan pengalaman saya kepada pemain muda.”

Dalam pada itu, Li Jane yang ditanya samada MTBC perlu presiden baru berikutan Datuk Dr PS Nathan sudah 48 tahun mengemudi badan induk itu, beliau tidak melihat tiada sebab untuk menukar tampuk kepimpinan baru.

Jelasnya, walaupun sudah hampir setengah abad diterajui oleh individu yang sama namun ia tidak langsung menjejaskan sukan boling negara sebaliknya badan itu masih lagi melahirkan banyak bakat baru.

Sementara itu, Li Jane juga berharap agar sukan boling negara akan terus maju ke hadapan dan Malaysia akan jadi kuasa besar boling semula.