FAMEMAS Malaysia Supporters tak kisah keluar wang dari poket sendiri untuk sokong atlet negara

361

Presiden FAMEMAS Malaysia Supporters iaitu Lee Hui Seng mendedahkan beliau dan penyokong dari kelabnya tidak pernah berasa sedikit pun ralat sekiranya mereka perlu mengeluarkan wang dari poket mereka sendiri untuk menyokong atlet negara.

Lee Hui Seng yang menubuhkan kelab FAMEMAS Malaysia Supporters sejak 2003 berkata pada mulanya mereka ada mendapat tajaan daripada beberapa syarikat swasta besar yang menaja mereka ke temasya seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Olimpik dan Sukan Kamanwel.


“Pada mulanya ada syarikat swasta Samsung dan Telekom Malaysia, bagaimanapun kini mereka tidak lagi bersama kami.

Bagaimanapun ia tidak langsung mematahkan semangat kami kerana tujuan kelab ini ditubuhkan adalah untuk menyokong atlet negara. Ketika ini kami masih mendapat tajaan kecil dari syarikat swasta dan kami juga tidak keberatan untuk mengeluarkan wang sendiri,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Hui Seng, kelab mereka tidak meletakkan sebarang had umur langsung dan penyokong paling tua dalam kelab mereka berusia 78 tahun.

Tidak dapat dinafikan mereka sangat terkenal terutamanya apabila membabitkan perlawanan badminton, namun mereka sebenarnya tidak bersikap selektif terhadap sukan yang mahu disokong, tetapi mereka akan beri sokongan kepada semua jenis sukan termasuk bola sepak.

Dalam pada itu, Hui Seng berkata walaupun tugas mereka adalah untuk bersorak, tetapi mereka tidak akan bersorak sebarangan kerana bukan semua jenis sukan mereka boleh sorak berterusan.

“Kami tidak bersorak sebarangan kerana setiap sukan tidak sama. Jadi kami selalu mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan badan-badan sukan lain untuk memaklumkan kepada kami.”

Sementara itu, FAMEMAS sentiasa membuka peluang kepada orang ramai yang ingin menyertai kelab mereka untuk bersama menyokong dan memberi semangat kepada atlet negara.

Tambah Hui Seng, walaupun kadang-kala kehadiran mereka dikatakan tidak memberikan impak, tetapi ia sebenarnya sangat membantu atlet negara yang mana seseorang atlet itu akan berasa terus bersemangat untuk memberikan yang terbaik walaupun berada dalam situasi getir.

Usaha kelab penyokong ini telah mendapat pengiktirafan apabila mereka telah diberikan Anugerah Khas di majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) baru-baru ini.

Diharap lebih ramai peminat sukan tanah air akan turut bersama FAMEMAS Malaysia untuk beri sokongan padu setiap kali atlet negara turun beraksi.