Kualiti Liga B-23 di Belgium setaraf dengan Liga Super – Lim Teong Kim

5,696

Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim berkata tiada keperluan untuk penyerang muda negara Luqman Hakim pulang atau cari kelab baru untuk mencari minit permainan.

Ini kerana menurut Teong Kim, Luqman baru sahaja setahun setengah di sana, jadi beliau mempunyai banyak masa lagi untuk buktikan dirinya.


“Apa yang diperkatakan di program di Astro Arena tidak benar. Luqman baru setahun setengah di Belgium dan bukannya berusia 23 tahun tetapi baru 20 tahun. Saya nak tanya kepada pemain kebangsaan atau pun bekas pemain, adakah kamu pada usia 20 atau 23 tahun menjadi tulang belakang pasukan?

Luqman tak perlu berhijrah sebaliknya beliau boleh bermain untuk pasukan B-23 kerana Liga B-23 di Belgium setaraf dengan Liga Super dan jauh lebih baik dari saingan Liga Perdana,  Piala Belia dan Piala Presiden,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Teong Kim berkata tiada masalah untuk Luqman bermain dalam tempoh yang singkat kerana apa yang penting adalah ketika latihan yang mana corak latihan mereka sangat berintensiti tinggi.

Beliau pada masa sama turut memuji aksi persembahan Luqman dalam perlawanan persahabatan Malaysia di Singapura baru-baru ini.

Walaupun hanya mendapat minit permainan yang singkat, namun Luqman rajin dan berani melakukan serangan ke kubu pihak lawan sekiranya mendapat peluang.

“Bagi saya biar Luqman berada di Belgium, tak main pun tidak mengapa kerana kualiti liga di sana lebih tinggi dari Liga Malaysia. Apa guna pulang ke Liga Super jika kualiti liga rendah sangat, dan bagaimana dia nak maju?”

Dalam pada itu, Teong Kim juga berkata jurulatih juga perlu memainkan peranan penting yang mana mereka perlu memberi peluang kepada pemain muda untuk turun beraksi.

“Sebagai contoh kita lihat perlawanan Malaysia baru-baru ini yang mana (Mohamadou) Sumareh masuk. Dia sudah main berapa tahun untuk negara tapi main macam tu saja. Kalau saya jurulatih, lebih baik saya masukkan pemain muda untuk main kerana mereka memang perlukan perlawanan seperti ini.”

Tegasnya lagi, pemain-pemain muda adalah pemain pelapis jadi mereka perlu diberi perhatian dan minit permainan untuk persiapkan mereka.