Bonai tak tolak kemungkinan main untuk Ghana dan beraksi di Piala Dunia 2022 Qatar jika dipanggil

17,398

Pemain pertahanan kental Kedah Darul Aman FC, Rodney Celvin Akwensivie tidak menolak kemungkinan akan bermain untuk Ghana sekiranya mendapat panggilan dari negara itu.

Ini kerana Rodney mempunyai darah kacukan Ghana-Malaysia dari sebelah bapanya.


“Kalau dapat boleh try kot (selorohnya). Saya takkan tolak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Rodney, keluarganya di sini masih lagi mempunyai hubungan baik dengan saudara-mara ayahnya di Ghana sehingga kini.

Terdahulu, pemain berusia 25 tahun itu sudah beberapa kali tersenarai dalam senarai menunggu tetapi masih belum menjadi pilihan jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, untuk diturunkan walaupun ramai yang mendesak beliau diturunkan berikutan prestasinya berada di tahap terbaik.

Rodney juga enggan terlalu memikirkan soal bermain untuk pasukan Malaysia atau tidak kerana beliau mahu fokus pada kelabnya sahaja ketika ini.

“Susah sekiranya saya fokus pada pasukan kebangsaan kerana ia akan menjejaskan prestasi saya di kelab kerana kita seperti terkejar-kejar benda tu sampai ganggu diri kita.”

Dalam pada itu, Rodney turut mendedahkan beliau membuat keputusan yang tepat untuk terus bersama dengan Kedah dan menamatkan kontraknya dengan Selangor FC.

Ini kerana ketika beliau bersama Selangor, Rodney tidak mendapat kepercayaan daripada jurulatih untuk menurunkannya, yang mana beliau kemudian dipinjamkan ke Kedah.

Ketika di Kedah, peminat dapat melihat prestasi sebenar Rodney sehingga beliau menjadi tonggak utama pertahanan skuad Sang Kenari.

“Saya bangga dengan prestasi saya yang dilihat naik mendadak. Bagaimanapun saya tidak akan cepat selesa sebaliknya saya sentiasa berkomunikasi dengan coach Aidil Sharin untuk memantapkan lagi permainan saya.”

Apabila tamat musim lalu, Rodney dijangka akan kembali ke Selangor berikutannya kontraknya masih ada, bagaimanapun beliau mahu terus bersama Kedah dan kedua-dua pasukannya telah mencapai kata sepakat dan Selangor melepaskannya.

Sementara itu, Rodney berharap pada musim ini beliau mampu meraih sekurang-kurangnya satu kejayaan bersama Kedah.

Selain saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, Kedah pada musim ini akan turut beraksi dalam saingan Piala AFC.