Zool Hilmy bangga separuh pemain Leopard Girls FC terpilih untuk ke Piala AFF B-15 & B-18

483

Ketua jurulatih akademi bola sepak Leopard Girls FC, Mohd Zool Hilmy bangga apabila separuh daripada pemainnya telah dipilih untuk peringkat awal menyarung jersi Malaysia untuk saingan Piala AFF B-15 dan B-18.

“Separuh daripada pemain kami telah dipilih untuk peringkat awal wakili Malaysia untuk saingan Piala AFF B-15 dan B-18, jadi saya dan jurulatih lain kini sedang sibuk mempersiapkan mereka untuk memastikan mereka berada dalam persediaan dan prestasi terbaik untuk melangkah ke peringkat seterusnya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain mewakili Malaysia, Zool berkata terdapat beberapa lagi pemain terpilih untuk mewakili Selangor bagi menghadapi saingan Piala Tun Sharifah Rodziah.


Zool pada masa sama juga berkata pihaknya juga mempunyai perancangan untuk pemain-pemain yang lain yang mana pada bulan Jun depan Leopard Girls akan sertai program antarabangsa di Pulau Pinang.

“Pada bulan Jun nanti, kami rancang untuk sertai satu program antarabangsa di Pulau Pinang yang mana juga disertai pasukan dari negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.”

Dalam pada itu, Zool yang merupakan jurulatih untuk pemain lelaki dan juga perempuan, berkata pendekatan yang digunakan untuk melatih pemain perempuan amat berbeza.

Malah beliau gembira apabila semakin banyak ibu bapa yang memberi sokongan penuh kepada anak perempuan mereka untuk bermain bola sepak.

Pada masa sama beliau juga gembira apabila melihat perkembangan bola sepak wanita di negara terutamanya di Selangor sendiri yang dilihat semakin rancak.

Tahun lalu, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) telah menganjurkan liga bola sepak wanita FAS Women’s Super League yang mana ia mendapat sambutan luar biasa daripada penonton.

Susulan kejayaan tahun lalu, FAS akan kembali menganjurkan saingan liga wanita pada tahun ini, malah beberapa negeri lain turut mengikut jejak langkah sama menganjurkan liga bola sepak wanita.