Peraturan baru MFL buka peluang pada pemain muda

2,815

Pelangi selepas hujan! Itulah perumpamaan yang boleh diperkatakan mengenai peraturan baru oleh Malaysian Football League (MFL) yang memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baru saingan Liga Malaysia.

Antara SOP baru tersebut adalah tiada lagi penundaan perlawanan membabitkan pasukan yang terkena jangkitan COVID-19 bagi memastikan kelancaran jadual saingan Liga Malaysia berikutan ketika ini ada beberapa pasukan yang masih lagi belum memulakan kempen.


Disebalik SOP baru ini yang mana mungkin ia tidak menyenangkan pasukan berikutan tidak dapat menurunkan pemain terbaik mereka, namun ia sebenarnya membuka peluang kepada pemain muda kelab itu sendiri.

Ini kerana berdasarkan SOP, mana-mana pemain atau pegawai yang positif, kelab diberikan pengecualian sementara utnuk menggantikan pegawai dan pemain dari Piala Presiden dan Piala Belia.

Setiap pasukan dibenarkan untuk mendaftarkan pemain dari tiga skuad berkenaan ke dalam senarai skuad utama bagi menggantikan pemain yang dijangkiti.

Peluang ini boleh digunakan oleh jurulatih untuk memberi peluang kepada pemain-pemain muda buktikan kemampuan mereka, manakala untuk pemain pula inilah masanya untuk mereka tunjukkan kehebatan mereka supaya dapat memikat hati jurulatih.

Tidak dapat dinafikan ketika ini rata-rata pemain bola sepak tanah air dan penyokong menyuarakan kebimbangan terhadap jumlah kuota pemain import yang banyak iaitu lima orang berbanding hanya tiga pemain import sahaja sebelum ini.

Kehadiran lima pemain import telah menyebabkan ramai pemain tempatan tidak mendapat peluang untuk beraksi berikutan didominasi oleh pemain import.

Impak pemain import jelas kelihatan apabila skuad kebangsaan Malaysia kini ketandusan penyerang prolifik berikutan pasukan yang bersaing di Liga Malaysia lebih memilih untuk menggunakan khidmat import di posisi penyerang sekaligus penyerang tempatan dianaktirikan.

Diharap dengan SOP baru MFL ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada pemain-pemain muda untuk diketengahkan.

Sementara itu, selain membuka peluang kepada pemain muda, SOP baru ini juga dapat mengelakkan pasukan dari menipu dengan meminta perlawanan ditundakan dengan alasan pemain dijangkiti COVID-19 sedangkan pemain itu cedera.

Setiap keputusan yang dibuat sudah pasti ada baik dan buruknya, jadi diharap setiap pasukan dapat menerimanya dengan hati yang terbuka demi kebaikan semua.

Dengan SOP baru turut membenarkan penyokong makan dan minum, selain tiada lagi had jumlah penyokong ke stadium, maka marilah kita bersama-sama turun stadium untuk memeriahkan semula saingan liga bola sepak tempatan.