BAM perlu lantik Datuk Wira Lee Chong Wei sebagai Penasihat Khas

1,134

Dengan situasi yang berlaku dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM), rasanya sudah tiba masanya badan induk itu menggunakan khidmat bekas pemain perseorangan lelaki No.1 Dunia, Datuk Wira Lee Chong Wei untuk membantu pasukan negara.

Tidak dapat dinafikan walaupun sudah bersara, namun khidmat lagenda badminton negara ini masih lagi ditagih berikutan pengalaman dan hubungannya dalam dunia badminton sangat luas.


Antara jawatan yang boleh ditawarkan kepada Chong Wei adalah Penasihat Khas di BAM kerana beliau merupakan calon yang paling sesuai.

Bagaimanapun BAM perlu pantas ‘memujuk’ Chong Wei untuk kembali bersama BAM berikutan beberapa negara Asia sudah pun menghubungi pemenang pingat perak tiga kali Sukan Olimpik untuk mendapatkan khidmatnya.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh bekas pemain berusia 40 tahun itu dan susulan pendedahan itu, BAM telah mengeluarkan kenyataan yang memaklumkan bahawa pintu BAM sentiasa terbuka untuk Chong Wei jika beliau ingin kembali sebagai jurulatih.

Selepas bersara dunia badminton, Chong Wei mengakui dirinya masih belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih.

Bagaimanapun khidmat beliau sangat berguna terutamanya kepada pemain-pemain muda yang kebanyakkannya menjadikan Chong Wei sebagai idola.

Jika beliau belum bersedia untuk jadi jurulatih, seperti yang dicadangkan BAM mungkin boleh lantik Chong Wei sebagai Penasihat Khas yang mana khidmatnya dijangka mampu memberi impak kepada kem negara.

Dengan pengaruh yang ada pada Chong Wei, beliau dijangka mampu memulihkan keadaan yang berlaku dalam BAM berikutan badan induk itu seperti goyah sejak hujung tahun lalu.

Beberapa pemain dan jurulatih mengambil keputusan untuk keluar dari BAM walaupun ditawarkan kontrak baru yang lebih lumayan juga menolak dan ini menimbulkan pertanyaan di kalangan peminat badminton negara.

Ketika ini perseorangan lelaki negara dikendalikan oleh Hendrawan, Tey Seu Bock, K. Yogendran, beregu lelaki oleh Tan Bin Shen, perseorangan wanita oleh Loh Wei Sheng, beregu wanita oleh Hoon Thien How dan Lee Meng Yean, beregu campuran oleh Paulus Firman dan Teo Kok Siang.

Pada temasya Sukan SEA Hanoi yang akan berlangsung pada Mei depan, BAM hanya menyasarkan satu pingat emas sahaja kali ini sedangkan pada temasya lalu kem badminton berjaya menyumbang tiga pingat emas.

Tidak dapat dinafikan Malaysia kini bukan lagi kuasa besar dalam sukan badminton apabila beberapa negara seperti India dan Thailand yang sebelum ini sering menjadi ‘lauk’ pemain tempatan kini semakin hebat, manakala prestasi pemain negara pula merosot dan tak konsisten.

Mampukah BAM melahirkan seorang lagi pemain badminton berkelas dunia seperti Chong Wei lagi?