No.1 dunia hampir dalam genggaman pelari menara negara Soh Wai Ching

597

Atlet pelari menara Malaysia, Soh Wai Ching menyuarakan keyakinannya bakal menjadi pelari menara No.1 dunia tidak lama lagi apabila pengumuman ranking baru diumumkan pada hujung April ini.

Ketika ini Wai Ching merupakan pelari No.1 Asia dan No.2 dunia di belakang juara bertahan Piotr Lobodzinski dari Poland.


“Ketika ini negara Malaysia berada pada kedudukan ke-6 dunia, manakala ranking pelari lelaki iaitu saya pula kini berada di No.2 dunia. Bagaimanapun apabila ranking baru akan dikeluarkan pada hujung April ini, saya berkemungkinan akan menjadi No.1 dunia.

Ini kerana saya rasa saya seorang saja yang kerap menang yang mana sejak dari tahun 2019 hingga kini saya sudah menang 18 kali dan belum pernah kalah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pelari berusia 27 tahun ini juga nekad mahu kekalkan momentum kemenangan selagi dirinya mampu, pada masa sama turut mengajak rakyat Malaysia yang lain turut sama ceburi sukan ini.

Malah beliau bersama rakannya lain juga telah menubuhkan Persatuan Larian Menara Malaysia untuk menggalakkan lebih ramai orang turut serta dalam sukan itu.

Selain di Malaysia, Wai Ching juga bakal menubuhkan Persatuan Larian Menara UAE selepas mendapat persetujuan dari Kementerian Sukan Dubai.

“Apabila persatuan ini sudah ditubuhkan nanti, ia akan menjadi mudah untuk saya anjurkan pertandingan di sana nanti.”

Graduan Sarjana Muda Sains Sukan Universiti Malaya (UM) mengakui berdepan cabaran apabila menjadi pelari menara pertama di dunia yang menjadikan sukan ini sebagai kerjaya kerana pelari menara lain semuanya aktif secara sambilan sahaja.

Beliau kini bersyukur apabila beberapa syarikat besar seperti Turkish Airlines dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pernah menajanya dari tahun 2020-21, bagaimanapun untuk 2022 beliau perlu mencari panaja baru.

Terdahulu Wai Ching menjadi perhatian ramai apabila beliau berjaya memegang rekod Guiness World Record untuk cabaran pendakian tangga menegak dalam tempoh satu jam (Lelaki) dengan jarak 1.295 km yang baru.