Roslin Hashim mahu lihat Lee Chong Wei bantu badminton Malaysia

391

Roslin Hashim berharap agar lagenda badminton negara yang juga bekas pemain perseorangan lelaki No. 1 Dunia, Datuk Wira Lee Chong Wei dapat membantu skuad badminton Malaysia.

Roslin, yang sendiri juga pernah memegang ranking pertama dunia, berkata demikian selepas terdapat laporan yang mendedahkan bahawa Chong Wei mendapat beberapa tawaran dari negara luar untuk menjadi jurulatih.


“Bagi saya lebih baik beliau berada di negara sendiri saja. Seperti yang kita tahu, Malaysia masih lagi kekurangan pemain-pemain terutamanya dalam kategori perseorangan, jadi lebih baik beliau fokus di sini.

Itu kalau beliau ingin jadi jurulatih lah. Kalau beliau benar-benar nak jadi jurulatih, saya rasa elok di sini dulu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Roslin lagi, beliau pasti Chong Wei akan memikirkan tahap kesihatannya juga sekiranya mahu berhijrah ke negara luar, selain memikirkan keluarganya di sini.

Dengan situasi Chong Wei yang semakin sihat ketika ini, beliau yakin Chong Wei masih mempunyai aura dan setiap pandangannya dalam dunia sukan badminton masih lagi diterima.

Sebelum ini pemain perseorangan negara Lee Zii Jia juga pernah bertemu dengan Chong Wei untuk mendapatkan pandangan dan nasihat ketika pemain nombor tujuh dunia mahu keluar dari BAM untuk bergerak secara profesional.

Dalam pada itu, Roslin yakin BAM antara yang terawal menawarkan jawatan kepada Chong Wei namun ia tidak diwar-warkan kepada orang ramai menjadi punca kepada negara lain datang memberi tawaran kepadanya.

“Saya rasa BAM pasti ada tawarkan jawatan kepada Chong Wei tapi mungkin ketika itu beliau belum bersedia.”

Sementara itu, Roslin berkata dengan situasi kem negara ketika ini, beliau sangat mengalu-alukan kehadiran Chong Wei dalam BAM untuk bantu tingkatkan semula skuad badminton.