Sudah 2022, kualiti pengadilan Liga Malaysia masih di takuk lama

2,916

Isu yang nampaknya seperti tiada jalan penyelesaian setiap musim terutamanya apabila membabitkan perlawanan besar sudah semestinya mutu pengadilan.

Rasanya sudah lama isu ini telah dibangkitkan dan sehingga kini masih lagi berlaku dan semalam dua perlawanan besar KL City FC menentang JDT dan Kedah Darul Aman FC menentang Sri Pahang FC menyaksikan pengadil “seolah-olah” banyak membuat kesilapan ketika mengadili perlawanan.


Tidak dapat dinafikan perlawanan di antara KL dan JDT adalah perlawanan panas berikutan insiden yang berlaku ketika perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim sebelum ini telah berlaku insiden membabitkan peminat.

Aksi separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bertali arus melakukan serangan, tetapi JDT berjaya berada di hadapan satu gol hasil jaringan ayam tambatan Fernando Forestieri.

Bagaimanapun apabila masuk separuh masa kedua, perlawanan bertukar menjadi agresif apabila kedua-dua pasukan banyak melakukan kekasaran dan apa yang membuatkan penyokong berang apabila pengadil dikatakan bertindak berat sebelah apabila ramai pemain KL dilayangkan kad kuning.

Kemuncak babak panas berlaku ketika pemain tengah KL, Kenny Pallraj dibuang padang selepas melepuk kepala Leandro Velazquez kerana berang apabila penyerang JDT itu melibas tangan ke arah mukanya ketika pergelutan bola.

Sementara itu, satu lagi perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah yang melayan kunjungan pasukan Sri Pahang yang turun buat pertama kali untuk perlawanan Liga Super.

Tiada aksi panas antara pemain dari kedua-dua pasukan, tetapi mutu pengadilan yang menjadi pertikaian antara kedua-dua penyokong apabila pengadil dilihat membuat keputusan meragukan.

Penyokong Tok Gajah mendakwa pengadil telah menafikan dua gol yang dibatalkan sekaligus menutup peluang kemenangan buat pasukan mereka.

Bagaimanapun, penyokong Hijau Kuning turut tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan apabila pengadil tidak menghadiahkan penalti kepada Kedah biarpun dengan jelas bola terkena tangan pemain Sri Pahang.

Disebabkan mutu pengadilan yang teruk menyebabkan ramai yang menyokong penggunaan sistem ‘Video Assistant Referee’ atau VAR dalam saingan Liga Malaysia supaya pengadil boleh melihat semula ulang tayang samada keputusan yang dibuat tepat atau sebaliknya.

Jika VAR digunakan, pasti mutu kualiti pengadilan akan meningkat dan tiada lagi isu mengenai mutu pengadilan seperti yang berlaku ketika ini.