Khalid Jamlus akui pernah ditolak mentah-mentah apabila tawar diri nak bantu Perak

11,844

Bekas penyerang prolifik Perak dan skuad kebangsaan, Khalid Jamlus mendedahkan bahawa beliau pernah menawarkan diri untuk bantu pasukan kesayangannya, tapi ditolak mentah-mentah.

“Saya sendiri pun tak tahu kenapa ramai yang hubungi saya minta saya tolong bersuara apabila pasukan Perak berdepan masalah. Memang saya akan bantu, tapi saya tidak akan terburu-buru sebaliknya saya akan buat research sikit.

Bila saya tawarkan diri untuk bantu pasukan secara percuma, mereka tolak saya mentah-mentah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Khalid, beliau tidak berniat meminta bayaran pun dari pertolongannya, sebaliknya beliau mahu bantu kerana sayangkan pasukan Perak.


Tambahnya lagi, bantuan yang mahu diberikan tidak akan menganggu keseluruhan pasukan sebaliknya mahu menggunakan pengalaman dan ilmunya sebagai penyerang untuk latih penyerang pasukan Perak ketika itu yang dilihat tumpul.

Biarpun bantuannya ditolak, Khalid tidak terasa hati sebaliknya bersikap profesional apabila pihak pengurusan memaklum bahawa mereka sudah ada jurulatih.

Khalid bagaimanapun berkata beliau tetap akan terus lantang bersuara sekiranya isu yang berbangkit tidak mendapat perhatian.

Dalam pada itu, Khalid turut mengulas lanjut mengenai khabar angin yang mengatakan terdapat lima pihak berminat untuk mengambil alih Perak FC dari Impact Media Communication (IMC).

“Saya mendoakan agar ada sinar dan harapan saya bila dah ada orang ketuk pintu, harap bukalah demi kebaikan bola sepak Perak.”

Apa yang paling menyedihkan apabila beliau mendapat tahu tiga hari sebelum perlawanan pertama Perak, beberapa pemain senior telah mengeluarkan wang simpanan mereka sendiri untuk membantu rakan sepasukan mereka.

Oleh itu, Khalid berharap agar kemelut yang melanda pasukan The Bos Gaurus dapat diselesaikan dengan segera supaya pasukan ini dapat kembali menjadi pasukan yang digeruni seperti satu ketika dahulu.