“Saya mahu wakili Harimau Buta satu hari nanti!”
Mungkin ada yang akan beranggapan mustahil untuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan untuk bermain bola sepak, namun tanggapan mereka itu tidak benar sama sekali.
Bagi seorang wanita yang juga ibu kepada anak lelaki OKU penglihatan iaitu Nur Huslinda Che Mat berkata sukan bola sepak menjadi faktor utama anaknya iaitu Eilyas Dzarif Ahmad Zaidi, yang lebih dikenali “Yash”, menjadi seorang yang lebih berkeyakinan.
“Memang pada mulanya bila saya beritahu mengenai bola sepak, dia beritahu saya bagaimana nak main bola sedangkan dia tidak dapat melihat. Saya kata padanya jika nak tahu kena belajarlah dan dari situ Yash kata okay.
Pertama kali saya bawa Yash bermain bola sepak, dia teruja dan pada masa sama takut pada mulanya. Sebagai ibu bapa kita perlu terangkan kepada mereka apa itu bola sepak buta. Itu yang saya buat kepada Yash dan perlahan-lahan dia memahami,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Huslinda lagi, beliau menggalakkan anaknya bermain bola sepak kerana Yash bukan sahaja dapat bermain bola sepak sahaja tetapi juga mempelajari banyak lagi kemahiran hidup.
Huslinda juga mengakui dirinya menitiskan air mata apabila melihat anaknya mampu berlari dengan baik sehinggakan jurulatihnya iaitu Sunny Shalesh juga kagum dengan kemampuan anaknya itu.
Tambahnya lagi, tidak dinafikan pada awalnya sememangnya Yash berdepan dengan cabaran untuk bermain bola sepak, namun kini dia sangat gembira apabila setiap kali turun latihan.
Malah Yash berasa kecewa apabila jurulatih tunda latihan sepanjang bulan Ramadan dan hanya kembali turun padang selepas sambutan Aidilfitri.
Dalam pada itu, Huslinda juga memberitahu anaknya yang berusia lapan tahun kini mula mengajak rakan sekolahnya untuk turut serta bermain bola sepak.
“Dia cerita kepada kawan-kawannya yang dia main bola sepak dan mereka bertanya bagaimana dia main bola sedangkan dia tak nampak. Yash kemudian bercerita bagaimana dia bermain bola. Saya sendiri juga ada mengajak ibu bapa rakan anaknya untuk sertai mereka bermain bola, tetapi tiada lagi yang turut serta.
Jadi saya berharap sangat ibu bapa di luar sana yang mempunyai anak seperti saya untuk bawa anak mereka untuk cuba bermain bola sepak. Ini kerana ketika ini anak saya seorang sahaja pemain paling muda dalam pasukan.”
Tambahnya lagi, beliau yakin anaknya mampu menjadi pemain bola sepak berkualiti satu hari nanti dan untuk merealisasikan impiannya itu beliau menyeru lebih banyak ibu bapa menghantar anak mereka bermain bola sepak.
“Mereka ini adalah pemain pelapis, jadi saya harap lebih ramai kanak-kanak seperti anak saya bermain bola sepak supaya Harimau Buta tidak ketandusan pemain.”
Sementara itu, pemain cilik Yash sendiri mengakui sukan bola sepak telah membantu dia untuk menjadi seorang yang berkeyakinan, pada masa sama dapat belajar sesuatu yang baru.
“Bola sepak beri saya lebih keyakinan untuk berlari di tempat lapang tanpa berasa takut. Saya juga bercita-cita mahu wakili Malaysia (Harimau Buta) satu hari nanti,”