UiTM serap pegawai dan pemain UiTM FC sebagai staf universiti
Apa sudah jadi pada UiTM FC? Dikhabarkan berikutan kekangan wang daripada UiTM, pegawai dan pemain pasukan itu akan diserap menjadi staf UiTM.
Menurut satu sumber kepada Harimau Malaya, terdapat perubahan bajet yang berlaku dalam pusat sukan UiTM sekaligus menyebabkan mereka tiada wang untuk membayar gaji pegawai dan pemain.
Difahamkan bajet RM3.7 juta yang diumumkan sebelum ini untuk bajet pasukan UiTM FC dikatakan belum diterima berikutan pihak universiti melakukan penstrukturan atau sedikit perubahan.
Menerusi satu surat yang dikongsi mengesahkan pelantikan mereka sebagai staf UiTM pada Januari 2022.
“Dimaklumkan UiTM FC adalah pasukan bola sepak Universiti Teknologi Mara yang telah bersaing dalam kancah liga bola sepak negara dari tahun 2013. Pemain dan pegawai UiTM FC telah dilantik sebagai Staf UiTM pada Januari 2022.”
Kini pusat sukan meminta agar pihak UiTM membayar gaji pegawai dan pemain dan untuk berbuat demikian, kesemua mereka perlu diserap sebagai staf terlebih dahulu sebelum UiTM boleh bayar gaji mereka.
Perkembangan terbaru ini juga menyebabkan ramai staf universiti itu berasa tidak adil dan mempersoal tindakan pihak pengurusan UiTM sendiri yang bersetuju untuk menyerap pegawai dan pemain pasukan itu sebagai staf.
Sebelum ini, ramai staf yang tidak berpuas hati apabila pihak universiti bersetuju untuk menyalurkan dana jutaan ringgit untuk pasukan bola sepak.
Mereka berang kerana merasakan wang tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk membantu pelajar-pelajar yang berdepan kesukaran.
Oleh itu mereka menuntut penjelasan daripada pihak universiti rasionalnya menyerap pegawai dan pemain sebagai staf.