Tak mampu guna sistem VAR, mungkin FAM boleh perkenalkan pengadil garisan belakang gol dan tambah kamera
Liga Malaysia membuka tirai dengan langkah kiri apabila beberapa kualiti pengadilan beberapa perlawanan Liga Super telah mencetuskan kontroversi apabila pengadil melakukan beberapa keputusan teruk.
Susulan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengambil tindakan untuk mengenakan hukuman terhadap pengadil yang mana ada yang dikenakan hukuman penggantungan.
Isu kualiti pengadil yang teruk dalam saingan Liga Malaysia bukanlah satu perkara baru sebaliknya saban tahun perkara sama yang berlaku, tetapi tiada perubahan langsung yang dilakukan.
Apabila isu ini berlaku, perkara utama yang berlaku adalah penyokong mendesak penggunaan sisten Video Bantuan Pengadil (VAR).
Sememangnya sistem VAR adalah yang terbaik di dunia ketika ini kerana liga-liga di eropah kebanyakannya menggunakan sistem VAR ini.
Ia bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti pengadilan, malah ia akan memastikan setiap keputusan yang dibuat pengadil tepat.
Bagaimanapun umum mengetahui penggelan sistem VAR dalam saingan Liga Malaysia akan menelan kos yang cukup besar dan ia turut diakui oleh FAM sendiri.
Jika tidak mampu mengeluarkan kos puluhan juta untuk sistem VAR, mungkin pihak FAM dan MFL (Malaysian Football League) boleh mempertimbangkan untuk tambah bilangan kamera untuk mendapat pelbagai sudut pandang (multi-angle camera) sekaligus memudahkan kita melihat insiden itu apabila disiasat kelak.
Kos untuk menambah bilangan kamera di padang ini sangat kecil jika hendak dibandingkan dengan penambahan VAR.
Bagaimanapun jika itu pun tidak boleh, ada satu lagi cadangan yang FAM dan MFL boleh lakukan dan ia terjamin kos efektif dan sangat rendah.
Cadangan tersebut adalah menambah jumlah pengadil dalam setiap perlawanan iaitu memperkenalkan pengadil kelima dan keenam iaitu pengadil yang akan berada di garisan gol bagi memastikan tiada jaringan gol dipertikaikan lagi.
Tidak dapat dinafikan ramai penyokong yang memaki hamun apabila pengadil membuat keputusan tidak menyebelahi pasukan mereka, tetapi mereka perlu ingat bahawa pengadil juga manusia, jadi sudah pasti tidak akan lari dari membuat kesilapan.
Bagaimanapun jika pengadil yang sama kerap melakukan kesilapan sama, maka pengadil itu perlu diberikan amaran atau hukuman.
Diharap selepas ini isu mutu pengadilan tempatan akan terus diperbaiki dengan menjamin kualiti liga.