Lai Pei Jing akui tidak akan terpilih ke skuad Piala Uber 2022

496

Pemain beregu badminton negara, Lai Pei Jing mengakui dirinya tidak akan dipilih untuk menyertai skuad negara ke kejohanan Piala Uber yang akan berlangsung dari 8 hingga 15 Mei.

Menurut Pei Jing, kejohanan Piala Uber patutnya diberikan kepada pemain muda sebagai pendedahan.


“Tidak mungkin saya akan terpilih ke skuad Piala Uber. Sebab pertama beregu campuran dan beregu biasa adalah perkara yang berbeza. Bagi saya untuk skuad Uber walaupun muda tetapi saya rasa mereka berpotensi.

Saya rasa patut bagi mereka peluang sebagai pendedahan dan mengambil pengalaman untuk masa depan mereka,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kemenangan Pei Jing-Tan Kian Meng pada Terbuka Korea baru-baru ini telah memberi gambaran awal bahawa prestasi mereka semakin meningkat selepas keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pei Jing mengakui selepas bergelar pemain profesional beliau berasa lebih selesa tetapi baginya tidak ada bezanya bergelar pemain profesional atau pemain BAM kerana kedua-duanya bermain untuk Malaysia.

Dalam pada itu, Pei Jing meluahkan perasaan gembiranya apabila berjaya menamatkan kemarau lima tahun tanpa sebarang kejuaraan.

“Saya sangat gembira dan sehingga kini saya masih seperti tidak percaya kerana kami sudah lama tunggu peluang seperti ini dan apabila menang pada hari tu kami memang berasa sangat-sangat gembira.”

Pada masa sama beliau turut mengucapkan terima kasih kepada jurulatih mereka Chin Eei Hui yang kembali melatih mereka sekaligus berjaya mencipta kejayaan semula.

Untuk rekod, Pei Jing-Kian Meng mula berlatih dibawah Eei Hui pada tahun 2016 dan telah berjaya membawa mereka berada di ranking ke-10 dunia dalam tempoh setahun sahaja sebelum prestasi mereka merosot.

Bagaimanapun mereka kembali bekerjasama selepas masing-masing keluar dari BAM untuk bergerak sendiri secara profesional.