Kekurangan pemain senior mungkin memakan diri

106

Orang kata ketika krisis, pengalaman yang akan membezakan antara individu yang tidak berkemampuan dan berkemampuan. Jadi, adakah tindakan pihak pengurusan mengutamakan khidmat pemain muda bakal memakan diri mereka sendiri?

Seperti yang kita tahu, ketua jurulatih pasukan negara Abdul Talib Ahmad telah membuat keputusan untuk menyenaraikan majoriti pemain muda dalam pasukan sepak takraw negara bagi kejohanan Sukan SEA yang akan berlangsung di Hanoi, Vietnam.


Sejak pandemik COVID-19 yang turut melanda dunia, kebanyakan kejohanan sepak takraw di peringkat antarabangsa terpaksa dibatalkan.

Memandangkan kebanyakan pemain yang dipilih ke Sukan SEA kurang mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa, keputusan untuk menyenaraikan pemain muda dilihat sebagai suatu tindakan yang berani.

Hal ini kerana kuasa besar sepak takraw dari negara jiran, Thailand dikhabarkan menyenaraikan lagenda seperti Pornchai Kaokaew dan Sittipong Khamchan yang sudah sinonim dengan warna emas sejak penyertaannya pada tahun 2003 di Sukan SEA.

Pengalaman yang dibawa oleh Pornchai Kaokaew yang sudah berumur 41 tahun pastinya ditagih oleh pasukan kebangsaan Thailand.

Jika dibandingkan, skuad Malaysia rata-rata dianggotai oleh pemain bawah 25 tahun seperti Haziq Hairul Nizam dan Zuhri Zain dan ramai lagi muka baru yang melakar nama mereka di SepakTakraw League (STL).

Memang benar pemain muda perlu diberikan lebih banyak pendedahan tetapi sekiranya sasaran kita ialah pingat emas, kudrat ‘kuda tua’ amat diperlukan terutamanya dalam perlawanan-perlawanan yang beritensiti tinggi.

Tambahan pula, walaupun pemain-pemain muda ini sudah biasa bermain di kaca tv, kadang kala perasaan gemuruh yang melampau tidak dapat dielakkan terutamanya apabila bermain di pentas tertinggi.

Di sinilah pentingnya kehadiran pemain senior. Kehadiran mereka pastinya sedikit sebanyak mampu membantu pemain muda untuk menampilkan aksi yang terbaik di Sukan SEA yang sudah semakin hampir.

Yang pasti, sesiapa sahaja yang dipilih untuk mewakili negara pastinya akan beraksi sebaik mungkin bagi memastikan Malaysia dapat menggenggam pingat emas.