Kalau jurulatih pun tak boleh bersuara, siapa yang boleh?

160

Hati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan. Itulah realiti yang perlu dihadapi oleh jurulatih Melaka United FC, Risto Vidakovic.

Risto berdepan tindakan tegas dari pihak pengurusan kerana menyebarkan cerita yang dikatakan tidak benar.


Prestasi tidak menentu yang ditampilkan oleh Melaka United telah menimbulkan pertanyaan bahawa adakah pemain-pemain pasukan tersebut mempunyai motivasi untuk bermain.

Vidakovic pula mendakwa bahawa masalah gaji yang berlarutan menyebabkan dia tidak bersemangat untuk melatih pemain.

Kenyataan daripada Vidakovic tesebut dilihat selari dengan persembahan yang ditampilkan oleh Melaka United.

Meskipun seorang jurulatih harus menjaga reputasi dan nama baik kelab, siapa lagi yang lebih berkelayakan untuk menyuarakan pandangan jika bukan jurulatih?

Untuk pengetahuan, isu ini bukanlah suatu benda yang baru. Sebagai contoh E.Elavarasan didenda RM10,000 susulan kenyataannya terhadap FAM selepas aksi Liga Perdana berdepan Negeri Sembilan.

Berikutan itu, ada juga jurulatih yang risau untuk mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap kontroversi kerana takut didenda.

Berilah ruang untuk jurulatih-jurulatih ini setidak-tidaknya menyuarakan pandangan mereka. Input mereka sedikit sebanyak dapat membantu pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan.

Berbanding jurulatih, peminat hanya mengetahui perkara yang diketahui umum. Peminat tidak mendapat akses dan informasi yang diketahui oleh jurulatih.

Bukan itu sahaja, setiap jurulatih berhak menyuarakan pandangan mereka selagi perkara itu bukanlah perkara yang auta.

Perlu diingat, peminat bola sepak tanah air telah mengeluarkan wang ringgit semata-mata untuk menyokong pasukan kegemaran mereka.

Setiap daripada mereka berhak untuk mengetahui apa yang sedang berlaku terhadap pasukan kesayangan mereka.