Brad Maloney perlu hantar skuad terbaik jika mahu capai kejayaan di Sukan SEA

224

Walaupun senarai lengkap skuad kebangsaan B-23 Malaysia ke Sukan SEA Hanoi belum diumumkan, tetapi keyakinan penyokong tidak lagi setinggi pada mulanya apabila ketua jurulatih Brad Maloney sahkan dua tonggak utama Arif Aiman dan Luqman Hakim tidak akan disenaraikan.

Alasan yang diberikan adalah kedua-dua pemain itu akan dibiarkan bersama skuad senior di bawah kendalian Kim Pan-gon.


Keputusan untuk tidak menyenaraikan kedua-dua pemain itu selepas perbincangan dibuat oleh kedua-dua ketua jurulatih.

Dalam satu kenyataan Maloney baru-baru ini beliau menjelaskan bahawa penyokong berhak untuk tonton aksi pemain terbaik, tetapi jika tonggak utama yang sepatutnya berada skuad tidak disenaraikan sudah pasti akan ada ketempengan yang berlaku kelak.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meletak sasaran pingat emas untuk skuad B-23 nanti, tetapi mampukah skuad Harimau Malaya mampu menepati sasaran?

Lebih parah lagi apabila Maloney bakal berdepan situasi yang mana kelab tidak mahu melepaskan kerana mereka berhak berbuat demikian berikutan temasya Sukan SEA tiada dalam kalender Persekutan Bola Sepak Dunia (FIFA).

Bukan sahaja akan berdepan masalah pemilihan pemain, beliau juga tidak mempunyai masa yang panjang untuk mempersiapkan pasukan.

Ini kerana ketika international break FIFA baru-baru ini, skuad B-23 tidak mempunyai sebarang perlawanan persahabatan langsung, sebaliknya hanya skuad senior sahaja yang bermain di Singapura.

Pemain-pemain dijangka akan melapor diri untuk latihan pusat pada 19 April ini, namun sehingga kini tiada senarai pemain yang diumumkan buat masa ini.

Skuad B-23 negara akan memulakan kempen Sukan SEA dari 6 hingga 22 Mei depan dan persoalan yang tanda tanya ramai adalah mampukah kita mengecapi kejayaan kerana mereka kini menjadi sandaran penyokong Harimau Malaya bagi menebus kekecewaan skuad senior di Piala AFF tahun lalu.

Selain temasya Sukan SEA, skuad B-23 negara juga bakal beraksi pada saingan Piala AFC B-23 pada bulan Jun ini yang mana Maloney dijangka akan mendapat skuad utamanya semula.