Pemergian Paulus Firman adalah satu kehilangan besar buat BAM

275

Entah apa yang sedang berlaku dalam kem badminton negara ketika ini apabila seorang demi seorang mula meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Terbaru jurulatih dari Indonesia iaitu Paulus Firman juga dilaporkan bakal meninggalkan badan induk itu tidak lama lagi dan mahu pulang ke kampung halamannya.


“Paulus adalah seorang jurulatih yang sangat bagus. Tapi saya tidak berada dalam BAM jadi saya tak tahu cerita sebenar, jadi saya tak boleh komen panjang.

Apa yang saya cakap adalah beliau seorang jurulatih yang bagus dan jika benar beliau akan tinggalkan BAM, ia adalah satu kehilangan besar buat persatuan itu,”

kata juara beregu campuran Terbuka Korea, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, pasangan beregu campuran negara ini ditanya apakah yang berlaku dalam BAM ketika ini sehingga banyak jurulatih yang mengambil keputusan keluar dari badan induk itu, kedua-dua mereka enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Menurut Kian Meng-Pei Jing, mereka bukan tidak mahu komen mengenai perkara tersebut tetapi mereka sendiri tidak lagi bersama BAM jadi mereka merasakan tidak layak untuk mereka beri komen.

Sementara itu, Kian Meng berkata beliau dan Pei Jing ketika ini mahu memberi fokus pada permainan mereka untuk terus mencipta kejayaan dan tidak pernah memikirkan apa yang mereka inginkan sekira BAM mahu menyerap mereka semula.

“Perkara itu belum berlaku lagi, jadi saya tidak mahu fikir mengenai perkara itu lagi. Fokus kami adalah untuk terus cipta kejayaan dan apabila ada tawaran satu hari nanti, baru kami akan fikirkan macam mana.”

Pei Jing dalam pada itu turut bersyukur kerana Malaysia mempunyai ramai penyokong yang sangat setia bersama pemain badminton negara tidak kira ketika menang mahupun ketika kalah.

Tambahnya lagi, sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan oleh penyokong membuat dirinya dan pemain lagi bertambah semangat dan akan sentiasa pastikan beri persembahan terbaik setiap kali turun beraksi.

Bercakap mengenai Sukan Komanwel dan Sukan Asia, mereka berkata selalunya BAM akan menghantar pemain dari persatuan itu untuk mewakili Malaysia tetapi sekiranya khidmat mereka ditagih, Kian Meng-Pei Jing bersedia untuk beraksi.