Sejauh mana kekuatan Myanmar dan Hong Kong?

198

Sebelum masuk ke medan perang, mesti di uji dahulu ketajaman pedang. Itulah yang cuba dilakukan oleh ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mahu menguji tahap kekuatan pasukan kendaliannya.

Myanmar dan Hong Kong kini sah menjadi medan ujian terakhir pasukan negara sebelum berentap di dalam kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan.


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan dua perlawanan tersebut melalui kenyataannya yang mengesahkan pasukan negara akan menghadapi dua perlawanan antarabangsa Tier A.

Menurut Pan-gon, perlawanan menentang Myanmar dan Hong Kong dibuat kerana kedua-dua pasukan itu menepati ciri-ciri yang dimahukannya.

Pemilihan dua negara tersebut sebagai medan pemanas badan skuad negara kerana kedua-dua pasukan ini berada di ranking yang tidak jauh berbeza.

Pertama, lihat dahulu pasukan kebangsaan Myanmar. Dari segi ranking, boleh dikatakan Myanmar pasukan yang tepat untuk menguji kebolehan pasukan negara.

Hal ini kerana Malaysia berada di tangga ke-154 manakala Myanmar berada di tangga ke 152. Hanya dibezakan dengan dua anak tangga sahaja.

Walaupun prestasi pasukan Myanmar kelihatan tidak menentu dan mereka belum lagi beraksi pada tahun ini, perlu diingat mereka juga mempunyai penyerang yang mampu mencetak gol.

Kelincahan pemain nombor 7, Lwin Moe Aung mengatur serangan dan kebolehan Hein Htet Aung mencari ruang di dalam kotak penalti boleh menghukum benteng pertahanan negara sekiranya dibiarkan bebas tanpa kawalan.

Sekarang, lihat pula pasukan kebangsaan Hong Kong. Mereka berada di anak tangga ke-147, juga tidak jauh daripada pasukan negara kita.

Berdasarkan prestasi semasa, sudah lama Hong Kong tidak merasai kemenangan. Kali terakhir mereka menang ke atas lawan mereka adalah pada 19 November 2019, menentang pasukan Kemboja dengan jaringan sebanyak 2-0.

Pan-gon pastinya melihat keadaan ini sebagai suatu peluang untuk mengukur tahap kekuatan pasukan negara. Kedua pasukan itu tidak terlalu lemah dan tidaklah terlalu kuat jadi pemilihan Myanmar dan Hong Kong sebagai medan untuk menguji kebolehan pasukan negara boleh dikatakan satu keputusan yang tepat.

Yang pasti, laluan untuk ke Piala Asia 2023 penuh dengan rintangan yang sukar jadi peluang ini harus digunakan sebaik mungkin bagi mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pasukan negara.