Pemilihan pemain ke saingan Piala Thomas & Piala Uber jadi pertikaian

303

Seperti yang dijangka, barisan pemain badminton bagi Piala Thomas dan Piala Uber dipenuhi dengan pemain sama yang sering mewarnai barisan negara.

Namun begitu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga nampaknya menyenaraikan muka-muka baru bagi skuad Piala Thomas seperti Shaqeem Aiman, Ong Ken Yon dan juga Lim Chong King.


Pemilihan pasukan wanita negara untuk Piala Uber pula menampilkan hampir 80 peratus muka yang sama pada kejohanan Badminton Asia Team Championships (BATC) 2022 yang berlangsung di Setia City Convention Centre, Setia Alam baru-baru ini.

Dua pemain daripada pasukan wanita yang menyertai BATC pada Februari lalu digugurkan daripada senarai dan dua pemain baru menggantikan tempat mereka.

Dua pemain yang digugurkan daripada senarai tersebut ialah Go Pei Kee dan Siti Nur Shuhaini manakala pemain yang mengisi kekosongan mereka tidak lain tidak bukan Goh Jin Wei dan Chan Wen Tse.

Dalam pada itu, rata-rata peminat terkejut apabila mendapati nama Cheam June Wei dan Soong Joo Ven tiada dalam senarai yang dikeluarkan oleh BAM.

June Wei yang berada tangga ketiga tertinggi dalam kalangan pemain perseorangan negara selepas Zii Jia dan Liew Daren pun tidak terpilih untuk ke Piala Thomas.

Tambahan pula, June Wei merupakan pemain yang sangat aktif pada tahun ini. Walaupun tidak menjuarai sebarang kejohanan, June Wei telah menyertai pelbagai pertandingan seperti 2022 Korean Masters, Korea Open Badminton Championships, Orleans Masters dan beberapa lagi kejohanan yang lain.

Jika diikutkan data dan prestasi semasa, boleh dikatakan pemilihan beberapa pemain oleh BAM agak mengelirukan.

Hal ini kerana apakah sebenarnya kriteria pemilihan yang ditetapkan oleh BAM? Adakah ia berdasarkan prestasi semasa di peringkat antarabangsa ataupun hubungan seseorang pemain dengan persatuan tersebut?

Keputusan telah pun dibuat dan BAM sebagai badan yang mentadbir dan mengurus sukan badminton di Malaysia pasti ada misi dan visi mereka tersendiri bagi memastikan sukan badminton akan terus melahirkan bakat-bakat yang boleh mengharumkan nama negara.

Adakah skuad yang diumumkan BAM ini mampu mencipta kejutaan nanti? Atau Malaysia hanya akan menjadi pelengkap jadual? Sama-sama kita tunggu dan lihat.