Tambah baik kualiti pengadil lebih penting berbanding VAR

214

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menyuarakan pandangannya bahawa kalau ada VAR pun, kualiti pengadil tetap juga tidak berubah.

Sebagai seorang pengadil profesional yang berdaftar dengan FIFA, beliau semestinya tahu apa yang diperkatakannya.


Berikutan beberapa keputusan salah yang dilakukan oleh pengadil baru-baru ini, peminat bola sepak tanah air kembali bersuara mendesak supaya penggunaan VAR diperkenalkan dalam saingan Liga Malaysia untuk membantu pengadil sedia ada.

Namun begitu, kos penggunaan VAR umum diketahui sangat tinggi. Solusi yang paling cepat ialah dengan melatih pengadil-pengadil dengan mewajibkan mereka untuk menjalani kursus pengadil profesional.

Ini kerana ketika ini majoriti pengadil yang mengadili perlawanan di Liga Malaysia adalah mereka yang terdiri daripada pengadil amatur dan tidak mempunyai lesen profesional.

FAM perlu buat sesuatu bagi memastikan pengadil-pengadil yang ada ketika ini berstatus profesional sekaligus dapat meningkatkan kualiti liga tempatan.

Pihak FAM dan MFL (Malaysian Football League) perlu menyediakan satu peruntukan khas untuk memastikan pengadil yang akan mengadili mana-mana perlawanan tidak melakukan kesilapan yang akan mengundang padah pada pasukan.

Sebelum ini ada yang pernah menyuarakan agar satu organisasi pengadil ditubuhkan yang mana ia akan berada di bawah naungan Kementerian Belia & Sukan (KBS).

Organisasi ini bertanggungjawab dalam melatih pengadil sepenuh masa yang mana rutin harian mereka adalah belajar dan berlatih untuk menjadi seorang pengadil yang bagus.

Jika organisasi ini ditubuhkan, ia mampu meningkatkan kualiti pengadilan Liga Malaysia dan ia telah terbukti di negara-negara luar yang mempunyai pengadil profesional sepenuh masa.

Pernah satu ketika mutu pengadil tempatan sangat teruk telah menyaksikan FAM mengambil keputusan untuk menggunakan pengadil dari luar negara untuk mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia pada tahun 2019.

Ketika itu, penyokong dan pengulas sukan memberi pujian dengan kualiti pengadil yang mengendalikan perlawanan besar seperti itu yang mana keputusan yang dibuat tepat dan tidak boleh dipertikaikan.

Pihak FAM dan MFL perlu bertindak dengan segera untuk menyelesaikan masalah kualiti pengadil tempatan berikutan jurulatih setiap pasukan dan penyokong sudah mula muak dengan kesilapan sama berlaku berulang kali tanpa ada penambahbaikan.

Mutu pengadilan perlu dipertingkatkan seiring dengan visi FAM dan MFL yang mahu menswastakan Liga Malaysia yang dijangka akan diswastakan sepenuhnya pada tahun 2023.

Malaysia bukan tidak mampu melahirkan pengadil yang bertaraf antarabangsa, tetapi pengadil sering dilupakan dan tidak keterlaluan jika mengatakan mereka dianak tirikan.

Jangan lupa kita mempunyai pengadil berkualiti yang pernah menjadi pengadil di Piala Dunia satu ketika dahulu.

Mereka adalah Kapten Halim Abdul Hamid di Piala Dunia 1998 di Perancis, Mat Lazim Awang Hamat di Korea Selatan/Jepun pada 2002 dan Subkhiddin di Afrika Selatan pada 2010.

Bilakah pengadil Malaysia akan terpilih untuk mengadili perlawanan bola sepak terbesar di dunia lagi? 10 tahun lagi? Atau tiada? Semuanya bergantung kepada FAM dan MFL samada mahu lakukan sesuatu untuk tingkatkan kualiti pengadil tempatan atau mahu biar mereka berada di takuk lama.