Skuad futsal Malaysia perlu bawa pulang sekurang-kurangnya gangsa di Sukan SEA

253

Jurulatih pasukan futsal negara, Chiew Chun Yong berpendapat bahawa skuadnya perlu membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa pada kejohanan Sukan SEA yang akan berlangsung di Hanoi, Vietnam pada Mei depan.

Chun Yong berkata demikian berdasarkan persembahan yang ditampilkan oleh pasukan-pasukan lawan di Kejohanan Futsal AFF 2022.


“Prestasi Myanmar dan Vietnam sudah bertambah baik manakala Indonesia dan Thailand pula berada di final. Berdasarkan prestasi semasa, kesemua pasukan yang saya sebut mempamerkan prestasi yang lebih baik daripada kita,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kata-kata beliau itu ada betulnya kerana ketika negara-negara lain masih meneruskan latihan dan liga mereka masih dibenarkan untuk berjalan ketika pandemik, tidak ada perlawanan antarabangsa yang di hadapi oleh pasukan kebangsaan selama tiga tahun bermula 2019-2021.

Jadi, boleh dikatakan pasukan kebangsaan sebenarnya kurang pendedahan dan pengalaman bermain di peringkat antarabangsa.

Bukan itu sahaja, beliau juga menyuarakan pendapat bahawa terdapat jurang perbezaan dari segi kualiti pasukan Malaysia dengan pasukan-pasukan lain.

Hal ini kerana, di negara-negara luar struktur liga dan pengurusan bagi sukan futsal lebih teratur dan efektif. Tatkala pembangunan dan perancangan skuad futsal negara terhenti pada tahun 2019, negara-negara luar tetap meneruskan perancangan mereka.

Bahkan apabila mereka dilanda pandemik, latihan tetap dijalankan mengikut protokol-protokol keselamatan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan negara masing-masing.

Usaha mereka dalam meningkatkan kualiti pasukan sukan futsal masing-masing telah pun membuahkan hasil.

“Saya tidak terkejut dengan persembahan yang dipamerkan oleh pasukan-pasukan jiran. Struktur pembangunan liga mereka sangat tersusun dan sebab itu kita boleh nampak hasilnya sekarang,”

Ketidakaktifan pasukan negara selama tiga tahun sememangnya memberi impak yang besar terhadap pasukan negara jadi seharusnya mereka perlu bermula dari bawah semula.

Walaupun negara-negara lain mempunyai struktur dan perancangan yang lebih baik, beliau percaya barisan pemain yang ada ini mampu bersaing dengan negara-negara lain.

Berilah masa kepada mereka, pasti mereka mampu mencetuskan kejutan setidak-tidaknya mara ke final.