Kelab atau negara, mana lebih penting?

307

Proses melepaskan pemain untuk mewakili negara sering menjadi perdebatan dalam komuniti bola sepak negara.

Brad Maloney, jurulatih pasukan kebangsaan B-23 kini sedang berhadapan dengan masalah yang sama. Kelab-kelab seolah-olah enggan melepaskan pemain muda mereka untuk menyertai Sukan SEA Hanoi, Vietnam.


Memandangkan majoriti pemain yang sering dipanggil oleh Maloney terdiri daripada pasukan seperti Terengganu FC dan Selangor FC, rata-rata peminat menjangkakan beliau tidak akan dapat menggunakan khidmat pemain-permain muda terbaik negara.

Hal ini kerana seperti yang kita tahu, Terengganu kini berada di tangga terakhir Liga Super. Tak logik sekiranya mereka melepaskan pemain mereka untuk mewakili negara kerana mereka pasti mahu semua pemain yang sedia ada untuk kekal berjuang meraih mata sebanyak mungkin.

Walaupun pemain muda seperti Hakimi Abdullah dan Nik Akif setakat ini sering mengisi bangku simpanan di Terengganu, mereka ialah sebahagian daripada rotasi pasukan yang sering dimasukkan ke dalam perlawanan terutamanya Hakimi.

Jikalau mereka membenarkan Hakimi dan Nik untuk menyertai pasukan Sukan SEA, siapa yang akan menggantikan posisi mereka sebagai pemain rotasi?

Kasihan juga dengan Maloney kerana beliau sudah pasti mahu bawa pasukan terbaik ke Sukan SEA kerana ia adalah kejohanan terakhir yang boleh dijadikan medan ukuran kekuatan pasukan negara sebelum berentap dalam Kejohanan Piala Asia B-23.

Tapi apakan daya, kelab adalah majikan kepada pemain-pemain. Mereka bayar gaji kepada pemain untuk melaburkan khidmat kepada kelab, bukan negara.

Tambahan pula, kejohanan Sukan SEA tiada di dalam kalendar FIFA. Fakta itu pun sudah cukup kuat untuk kelab-kelab menggunakannya sebagai alasan bagi mengelak daripada menghantar pemain mereka.

Contoh yang terbaru, jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, enggan melepaskan Saddil Ramdani untuk mewakili Indonesia atas alasan kejohanan Sukan SEA ini tiada dalam kalendar FIFA.

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) juga tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mengharapkan ehsan daripada kelab supaya melepaskan Saddil.

Untuk pengetahuan, keputusan untuk melepaskan pemain terletak sepenuhnya di tangan kelab. Badan yang paling berkuasa di dalam bola sepak Malaysia iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pun tidak ada kuasa untuk menghukum pasukan yang enggan melepaskan pemain mereka.

Yang paling baik mereka boleh lakukan adalah memujuk kelab-kelab yang pemainnya dipanggil untuk mewakili negara melepaskan pemain mereka.

Pemain pula tiada kuasa untuk menghalang kelab kerana kelab itu diibaratkan seperti majikan manakala pemain adalah pekerja. Kelab sebagai majikan boleh mengambil tindakan terhadap pemain sekiranya mereka melanggar arahan daripada mereka.

Walau bagaimanapun dalam kes ini, Maloney juga bukanlah 100% tidak bersalah. Ada yang berpendapat bahawa karakter beliau tidak cukup hebat untuk menjadi ketua jurulatih bagi pasukan B-23.

Ekoran itu, terdapat desas-desus bahawa FAM sengaja membiarkan Maloney ‘tergantung tak bertali’ kerana mereka tidak berapa gemar dengan beliau dan mahu menggantikannya secepat mungkin.

Bahkan, katanya pengganti beliau sudah pun ada dan mereka hanya menunggu masa sahaja untuk menggantikan beliau.

Tolak tepi khabar angin, Maloney perlulah memilih pemain yang akan mewakili negara dengan berhati-hati.

Kita tak mahu dimalukan seperti skuad AFF Suzuki 2020 jadi pemain yang dipilih nanti haruslah sekurang-kurangnya mampu bersaing dengan pasukan-pasukan yang akan bertanding dalam Sukan SEA.