Leandro Damiao: “bola sepak Asia secara keseluruhan tampak semakin baik!”

1,636

Penyerang Kawasaki Frontale, Leandro Damiao menyuarakan keyakinannya bahawa pasukannya mampu melepasi peringkat kumpulan dalam saingan AFC Champions League (ACL) yang membuka tirai hari ini.

Damiao berkata demikian selepas tamat perlawanan pertama kumpulan I yang mana menyaksikan Kawasaki Frontale berjaya mengikat Ulsan Hyundai FC 1-1.


“Kami mempunyai peluang yang sangat baik untuk melepasi peringkat kumpulan dan sebab itu kami akan terus berusaha dengan lebih keras untuk mendapatkan keputusan yang baik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Penyerang dari Brazil itu turut menjelaskan beliau tidak berasa tertekan langsung susulan dinobat sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada musim lalu kerana baginya gelaran itu bukan untuk dirinya sebaliknya untuk pasukan.

Terdahulu, Damiao mengakui beliau dan rakan sepasukan berdepan cabaran hebat daripada Ulsan yang memberi saingan sengit apabila mereka ketinggalan pada minit ke-21 menerusi jaringan Leo Souza.

Tersentap dengan jaringan tersebut, Frontale terus menggandakan usaha mereka dan akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-94 menerusi Shintaro Kurumaya.

Dalam pada itu, Damiao mengakui kualiti kelab-kelab di Asia semakin memperlihatkan peningkatan dan mampu menandingi kelab di Eropah tidak lama lagi.

“Saya rasa kelab-kelab dari Asia akan mampu melakukannya dalam masa terdekat. Kami sendiri pernah menentang dengan Chelsea dan saya melihat bola sepak Asia secara keseluruhan tampak semakin baik.”

Selepas ini Frontale akan turun menentang Guangzhou FC pada 18 April dan Johor Darul Ta’zim pada 21 April.

Mereka akan bermain sebanyak dua pusingan untuk menentukan siapakah juara kumpulan untuk layak ke peringkat seterusnya.