Haziq Nadzli harap terus diberi kepercayaan untuk perlawanan menentang Ulsan Hyundai
Penjaga gol nombor dua Johor Darul Ta’zim (JDT), Haziq Nadzli harap dirinya akan terus diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih Benjamin Mora untuk diturunkan pada perlawanan kedua AFC Champions League (ACL) menentang Ulsan Hyundai.
“InsyaAllah kalau saya sekali lagi diberi kepercayaan lagi untuk perlawanan seterusnya saya akan buat yang terbaik untuk bantu pasukan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Teka-teki mengenai siapa penjaga gol yang akan menggantikan penjaga gol utama pasukan itu menjadi perbualan ramai peminat selepas ketua pasukan Farizal Marlias mengalami kecederaan di kepala ketika beraksi dalam saingan Liga Super menentang Terengganu FC baru-baru ini.
Antara nama yang disebut-sebut bakal menggantikan Farizal adalah Izham Tarmizi berikutan beliau merupakan penjaga gol utama untuk JDT II.
Dalam perlawanan pertama JDT dalam saingan ACL sebentar tadi, skuad Harimau Selatan telah membelasah Guangzhou FC 5-0 dengan penyerang sensasi mereka iaitu Bergson berjaya menjaringkan hatrik.
Beraksi di laman sendiri di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), JDT mempamerkan aksi cemerlang apabila mendominasi sejak minit pertama wisel ditiupkan.
Guangzhou yang menghantar skuad muda mereka nyata tidak mampu menandingi JDT yang ampuh di setiap bahagian sehinggakan Haziq tidak berdepan sebarang serangan berbahaya langsung.
Dalam pada itu, penjaga gol berusia 24 tahun itu bersyukur apabila beliau dapat membuat penampilan sulungnya dalam kesebelasan utama di ACL.
Sementara itu, beliau juga menyuarakan keyakinan bahawa JDT mampu untuk melepasi peringkat kumpulan sekaligus mencipta sejarah baru buat kelab itu.
JDT akan menentang juara dua kali ACL, Ulsan pada 18 April ini.