Jiwa dan hati saya untuk bola sepak JDT – FK

8,031

Setiap kelab bola sepak memerlukan penyokong yang mana kewujudan mereka ini sangat penting sehinggakan mereka digelar sebagai pemain ke-12 pasukan.

Dalam kalangan penyokong sendiri ada beberapa jenis penyokong yang mana ada yang hanya menyokong ketika pasukan mereka berada di puncak, ada juga hanya menyokong suka-suka sahaja dan ada penyokong setia sampai mati.


Mereka ini adalah penyokong yang sangat istimewa buat mana-mana kelab kerana cinta mereka terhadap kelab tidak berbelah bahagi dan akan sentiasa bersama dalam apa sahaja keadaan.

‘Jiwa dan hati untuk bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT)’! Itulah ungkapan yang diluahkan oleh Farhan Khair atau lebih dikenali dengan nama penanya FK.

FK merupakan penyokong setia kelab itu sebelum Tunku Mahkota Johor (TMJ) merevolusikan pasukan Johor kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kita kenali ketika ini.

“Saya peminat bola sepak Johor ketika pasukan itu masih lagi dikenali sebagai Johor FA yang mana ketika ini jika perlawanan mula pukul 8.30 malam, saya sampai stadium pukul 8.15 malam dan tak perlu kejar masa kerana tak ramai pun pun.

Bagaimanapun apabila TMJ melakukan revolusi bola sepak JDT pada tahun 2013, penyokong semakin bertambah sehingga membuatkan saya sendiri terpaksa meletak kenderaan beberapa kilometer jauh dari stadium dek puluhan ribu penyokong turun stadium,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Mengakui menjadi penyokong setia JDT bukannya mudah kerana berdepan cabaran seperti sentiasa dikecam oleh haters, tetapi beliau tetap utuh bersama kelab dan akhirnya mereka yang sebelum ini mengecam teruk JDT kini menjadi penyokong kelab itu.

FK berkata beliau bukan sahaja menyokong apabila JDT turun beraksi di laman sendiri, malah beliau juga sanggup mengeluarkan belanja besar sendiri untuk menyaksikan perlawanan kegemarannya di luar negara yang mana ketika itu JDT turun beraksi dalam saingan AFC Champions League menentang gergasi Jepun, Vissel Kobe yang mana menyaksikan mereka tewas 5-1.

Selain menyokong, FK juga antara penyokong yang sangat aktif dalam penulisan mengenai kelabnya sehingga mendapat perhatian pemilik JDT, TMJ sendiri.

Malah dalam satu pertandingan video pendek yang dianjurkan oleh JDT, video pendek FK yang memaparkan perjalanannya dalam menyokong kelab itu telah diangkat sebagai pemenang yang mana TMJ telah menjemputnya untuk beraksi perlawanan JDT All Stars Friendly.

Dalam perlawanan amal tersebut membabitkan dua pasukan iaitu JDT TMJ menentang JDT Rest of the World yang mana menyaksikan ramai bekas pemain lagenda dunia seperti David Trezeguet, Robert Pires, Rivaldo, Edgar Davids, Louis Saha dan ramai lagi.

“Saya selalu letakkan ayat ‘Being a JDT fans, it is all about dream comes true’ dan itulah yang berlaku pada saya apabila saya dapat bermain dengan idola-idola bola sepak ketika saya kecil. Saya tak dapat nak gambarkan perasaan saya ketika itu nak menangis ke tidak. Ia satu momen yang saya tidak akan lupa sepanjang hayat saya.”

Dalam pada itu, FK turut meluahkan rasa bersyukur dan terima kasihnya kepada TMJ atas usahanya memajukan sukan bola sepak bukan sahaja untuk JDT tetapi juga negara.