Chanathip Songkrasin berkemungkinan akan diturunkan menentang Guangzhou FC

3,737

Ketua jurulatih Kawasaki Frontale, Toru Oniki berkata pemain tengah mereka Chanathip Songkrasin cergas dan berkemungkinan besar akan diturunkan menentang Guangzhou FC.

“Tahap kecergasan Chanathip sangat baik ketika ini dan kami akan terus memantau keadaannya dan jika semuanya baik, beliau berkemungkinan akan berada dalam skuad pada perlawanan seterusnya,”

katanya.

Oniki berkata demikian selepas ditanya samada kapten pasukan kebangsaan Thailand itu mengalami kecederaan berikutan namanya tidak tersenarai langsung dalam skuad ketika menentang Ulsan Hyundai baru-baru ini.


Dalam pada itu, Oniki juga mahu anak buahnya mempamerkan aksi bertenaga esok bagi mengutip tiga mata penuh.

Walaupun berdepan skuad yang dibarisi oleh pemain muda, tetapi beliau tidak mahu pemainnya ambil mudah sebaliknya mahu mereka kekalkan corak permainan yang sama.

Terdahulu, Guangzhou telah dibelasah oleh 5-0 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan pembukaan Kumpulan I AFC Champions League (ACL).

Sementara itu, peyerang Ten Miyagi pula berkata beliau sudah mula menyesuaikan diri dengan cuaca panas di Malaysia dan berharap akan mempamerkan aksi terbaik buat pasukan sepanjang kempen ACL ini.

“Saya yakin kami mampu bermain dengan baik esok dan saya sendiri akan terus pamerkan aksi bertenaga sepanjang kempen dan akan cuba menjaringkan gol untuk bantu pasukan melepasi peringkat kumpulan.”

Terdahulu, Chanathip yang berjaya membantu pasukan Thailand merangkul trofi Piala AFF 2020 telah menjadi perhatian peminat bola sepak di Asia apabila perpindahannya ke Kawasaki telah menjadikannya sebagai salah seorang pemain termahal di J-League.